Boleh berniaga sampai tengah malam - Utusan Malaysia

Boleh berniaga sampai tengah malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua sektor perniagaan berasaskan barangan keperluan seperti kedai runcit, serbaneka dan restoran dibenarkan beroperasi sehingga pukul 12 malam setiap hari dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini prosedur operasi standard (SOP) bagi operasi perniagaan sektor itu hanya dibenarkan sehingga pukul 10 malam.

Katanya, pengubahsuaian waktu operasi itu dibuat sebagai mendengar keluhan para peniaga sektor terbabit yang memberi kesan besar kepada kos dan operasi perniagaan mereka. 

“Kita menerima banyak aduan daripada netizen, persatuan-persatuan berkaitan sendiri selain orang ramai yang kebanyakannya mereka keluar mencari barang makanan selepas waktu isyak, jadi ada yang tak sempat nak pergi.

“Oleh itu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) berbincang dan bersetuju untuk membenarkan pembukaan restoran dan perniagaan runcit lain termasuk kedai jualan dalam stesen minyak dibuka sehingga pukul 12 malam,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, isu golongan pekerja rakyat Malaysia di Singapura untuk berulang alik masih lagi di peringkat perundingan antara Kementerian Luar di kedua-dua negara.

Katanya, SOP berkaitan telah pun disiapkan oleh kerajaan Negeri Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri dan ia perlu dipersetujui di peringkat Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar. 

“Di pihak MKN juga sedang memperincikan segala maklumat pekerja yang berjumlah kira-kira 200,000 untuk meneliti segala permasalahan yang dihadapi sebelum keputusannya ditentukan oleh Kementerian Luar kedua-dua negara dalam masa terdekat,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, sebarang penangguhan berkaitan aktiviti persembahan dan hiburan akan dibincangkan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, ia berikutan kes seorang artis dijangkiti Covid-19 dan beliau ada membuat persembahan dalam satu pertandingan muzik Jumaat lalu. 

Bagaimanapun, kata beliau, Kementerian Kesihatan sedang menilai faktor jangkitan itu sama ada ketika membuat persembahan atau di luar aktiviti itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya