baik pulih

Yang dikendong berciciran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minda pengarang nizamMenyusuri Jalan Persekutuan berdekatan Batu 3 Shah Alam dan kalau berada di sekitar Seksyen 13 kawasan yang sama, mata pasti akan tertumpu kepada Stadium Shah Alam.

Dengan saiz seluas 155,000 meter persegi dan kapasiti penonton sehingga 80,000 orang, menjadikannya stadium terbesar di rantau Asia Tenggara.

Stadium Shah Alam bukan sahaja berkisar gegak gempita penonton di dalam stadium apabila ada perlawanan bola sepak berlangsung, ia juga sebenarnya mercu tanda negara dan kebanggaan Selangor.

Sejarahnya panjang sejak dibina pada 1990 dan dibuka pada 1994. Selepas hampir tiga dekad pembukaannya, sudah pasti menuntut penambahbaikan.

Penyelenggaraan secara berkala amat penting dan sudah pasti ia sebahagian daripada perancangan ketika membina stadium berharga RM400 juta itu.

Stadium itu kini menghadapi kerosakan serius pada bumbungnya yang menjadi antara sebab ia ditutup pada awal 2020.

Sebelum itu ia juga pernah ditutup untuk menukar rumput dan menambah baik sistem elektrik serta lampu stadium. Tetapi penutupan kali ini lebih lama dan sehingga hari ini belum ada tanda akan dibuka dalam tempoh terdekat.

Kerajaan negeri anggarkan kos RM250 juta untuk baik pulih dan tambah baik stadium. Luar dan dalam stadium dirancang untuk penambahbaikan.

Projek kali ini dirancang untuk penyelesaian secara menyeluruh. Ia juga selari dengan hasrat mewujudkan kompleks sukan yang boleh dibanggakan di Selangor.

Kalau benar dakwaan apa yang terjadi pada stadium itu hari ini berpunca daripada ketiadaan penyelenggaraan yang betul akibat peruntukannya dikurangkan apabila kerajaan bertukar tangan, ia suatu yang amat dikesalkan.

Sepatutnya bangunan ikonik seperti Stadium Shah Alam terus gah berdiri walau siapa pun yang menerajui kerajaan.

Ayat klise, kos pulih dan naik taraf stadium sebanyak RM250 juta terlalu mahal lebih baik disalurkan untuk kebajikan rakyat sudah tidak boleh digunakan.

Kononnya duit sebanyak itu boleh digunakan untuk bina rumah kos rendah sekian banyak dan kalau sediakan pendidikan percuma, ramai yang dapat manfaat. Atau juga peruntukan itu diguna untuk pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

Persoalannya, berlakukah seperti diharapkan?

Silap-silap, stadium yang rosak terus terbiar dan peruntukan yang kononnya dialih untuk tujuan kebajikan rakyat pun tidak disalurkan kepada yang sepatutnya.

Akhirnya yang dikhuatiri berlaku yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. – UTUSAN

  • Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya