Yang dikenal sosok khidmat, jasanya... - Utusan Malaysia

Yang dikenal sosok khidmat, jasanya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPADA semua 28 calon Pilihan Raya Negeri Melaka yang diberikan mandat oleh rakyat untuk dipilih berkhidmat, tahniah diucapkan kepada mereka.

Tanggungjawab kepada rakyat berat untuk dipikul jika diri sendiri tahu amanahnya. Penuhilah waktu-waktu dipertanggungjawabkan sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat dengan jujur. Penuhkan cawan itu dengan integriti.

Ada ketika kita mengagumi seseorang ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri yang cekap, telus perjuangannya. Bahkan terlintas di kepala, mereka yang sudah berumur ini bila dia akan selesaikan tugas yang tidak habis-habis itu. Bila dia akan keluar dari situasi untuk sertai kehidupan berkeluarga yang lebih mesra dan terisi?

Dan selaku wakil rakyat beragama Islam, tentunya dia akan berpegang kepada iman dan lumrah alam. Jika beribadat, dibuat seakan-akan mati esok. Jika berjuang dan bertugas dibuat seolah-olah akan hidup seribu tahun. Melakukan sesuatu itu hendaklah tinggi wibawanya. Tak boleh setengah tiang atau sambil lewa.

Pencapaian umur 60 tahun buat mana-mana wakil rakyat bak kata Inggeris-Amerika is not big deal. Ini perkara biasa saja. Jika badan sihat dan minda masih aktif, tiada apa-apa-apa yang boleh dianggap sebagai pengaral – walaupun dalam istilah keusiaan, 60 tahun dianggap usia tua.

Jika diamati pun, semua bekas perdana menteri bermula dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman hinggalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, kesemuanya memegang jawatan itu ketika berusia lebih 50 tahun. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memikul amanah itu pun pada usianya 61 tahun.

Sesekali kita kena menoleh ke belakang pada masa yang berlalu, semenjak umur mentah hinggalah kini edaran zaman sentiasa diamati. Sekeliling yang berubah, nilai hidup yang bersilih ganti. Anak-anak yang dulu ditimang, kini sudah besar panjang. Kulit di badan sudah mula kendur. Langkah yang panjang kini sudah gontai. Selera nan tajam sudah mulai menurun.

Namun dunia terus berputar, zaman terus beredar dan kehidupan terus menuntut untuk diisi. Yang mati, hidup, lahir, membesar, berkahwin, bercerai… yang merana, yang bahagia – ini semua mendalilkan bahawa hidup ini terus berubah dan berevolusi. Masa sesungguhnya tidak menunggu imbauan manusia. Sekian ramai kawan-kawan lama yang kini hanya tinggal nama sahaja, lantaran berpulang ke alam baqa. Satu per satu mereka pergi. Sementara ada pula yang terlantar sakit atau berpenyakit yang sukar diubati.

Tetapi bersentimental ada batasnya. Di dunia ini ada lopak dan ruangnya untuk sesuatu. Ada masa untuk mengalirkan air mata, ada masa untuk bergembira dan ada masa untuk berjuang.

Bukti khidmat semestinya perlu ada. Sedikit sebanyak tanda jasa itu ada di bumi nyata bagi mereka yang mahu melihat.
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama.

 

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya