WFH, Euro 2020 dan vaksin - Utusan Malaysia

WFH, Euro 2020 dan vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Covid-19 memang membawa impak yang besar. Setiap manusia di muka bumi itu terkesan yang membawa kepada perubahan kepada gaya hidup kita. Dulu, kecuali pada hari saya tidak bekerja, saya akan ke pejabat. Saya berpegang teguh kepada konsep bekerja harus di pejabat.

Tetapi hari ini, Covid-19 memaksa saya menyelesaikan tugas saya di rumah. Macam tak percaya saya mampu melakukannya. Kebimbangan saya tentang komitmen dan produktiviti ternyata meleset. Semuanya berjalan lancar, malah dalam suasana lebih santai.

Apabila pandemik ini berlalu nanti, bekerja dari rumah (WFH) ini wajar diteruskan khususnya untuk tenaga kerja wanita. Banyak sisi positif bagi kaum hawa khususnya yang mempunyai anak kecil.

Idea WFH ini pernah diutarakan sejak beberapa tahun lalu tetapi semacam tidak pernah ada perbincangan yang serius. Mungkin keadaan tidak mendesak. Ia akan timbul kembali apabila ada masalah seperti tiada pusat jagaan, isu pembantu rumah dan isu kos sara hidup.

Namun, tidak semua sektor ekonomi boleh dilakukan di rumah. Sektor industri contohnya. Mereka perlu ke tempat kerja menyebabkan kumpulan ini sangat terdedah kepada penularan virus. Tidak hairanlah jika kluster tempat kerja bertambah saban hari.

Mengikut statistik, dari 25 Januari sehingga kelmarin, sejumlah 1,012 kluster tempat kerja direkodkan berbanding kluster kedua tertinggi iaitu kluster komuniti dengan 442.

Pun begitu, kesan kepada Sekatan Pergerakan Penuh yang bermula 1 Jun lalu sudah boleh dilihat. Kes positif harian menurun setiap hari sejak lima hari lalu, kes sembuh pula bertambah manakala proses vaksinasi semakin rancak.

Justeru, bagi sektor yang perlu dibuka untuk menjana ekonomi negara, kerajaan wajar tumpukan kepada bagaimana untuk mempercepatkan vaksinasi kumpulan pekerja ini supaya penularan boleh disekat segera.

Jika cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya majikan membeli sendiri vaksin untuk pekerja mereka boleh dilaksanakan, kerajaan patut memberikan lampu hijau. Beri insentif jika perlu.

Buatlah apa sahaja yang boleh mempercepatkan imuniti kelompok dicapai. Kita percaya kerajaan menilai setiap cadangan daripada rakyat. Semua mahu pandemik ini segera berlalu.

Bagi yang lain-lain, jika tiada keperluan mendesak, duduk sahaja di rumah. Hujung minggu ini, Euro 2020 yang tertangguh selama setahun akan bermula. Seperti Olimpik dan Piala Dunia, kejohanan ini tidak boleh dilepaskan, apatah lagi kesemua 51 perlawanan disiarkan secara langsung dalam 4K UHD.

Jika arahan WFH diteruskan, beruntunglah. Tidak perlulah tergesa-gesa dan terkejar-kejar. Apa yang penting, jangan Euro 2020 menjadikan komitmen dan prestasi terhadap tugas menurunkan. Sedikit kelebihan yang kita nikmati ketika ini terutama dari segi penjimatan masa perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Jika Harimau Malaya sedikit mengecewakan anda, Euro mungkin boleh jadi penawarnya. Namun, walau apa pun, namamu tetap teratas wahai Harimauku.

Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya