Wanita insan hebat, tonggak utama Keluarga Malaysia - Utusan Malaysia

Wanita insan hebat, tonggak utama Keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semalam berlangsung sambutan Hari Wanita ke-60 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) di ibu negara.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat menghadiri majlis tersebut yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keberangkatan Raja Permaisuri Agong adalah sebagai simbolik kepada pengiktirafan negara kepada golongan wanita. Kadar penyertaan tenaga buruh wanita di negara ini adalah 55.5 peratus pada 2021.

Bagi meningkatkan lagi penglibatan kaum hawa dalam tenaga buruh, kerajaan bersetuju mewujudkan Gender Focal Point dan Gender Focal Team di setiap kementerian dan agensi sebagai usaha mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan.

Sememangnya, kita mengiktiraf dan menghormati peranan dan pengorbanan wanita. Tidak kira sama ada mereka mempunyai kerjaya di sektor awam atau swasta mahu pun yang bergelar suri rumah tangga.

Walau setinggi mana pun kerjaya seorang wanita, tugas hakiki rasmi mereka adalah suri rumah. Biar pun penat dan sibuk di pejabat, apabila pulang ke rumah, merekalah ‘nadi’ utama keluarga.

Tugas memasak, melayan suami dan kerenah anak-anak semuanya sempurna diurus oleh suri rumah walaupun tidak bergaji dan bertugas 24 jam sehari. Pendek kata, selagi belum pejam untuk tidur selagi itulah khidmat wanita bergelar suri rumah ditagih.

Itu belum masuk, peranan utama golongan wanita dalam melahirkan zuriat. Membawa kandungan selama sembilan bulan ke sana-ke mari dan kesakitan serta kepayahan semasa melahirkan anak. Begitulah besarnya pengorbanan wanita, insan istimewa yang dikurniakan kekuatan luar biasa oleh Allah SWT.

Istimewanya wanita, dalam kelembutan ada ketegasan. Dalam kemarahan terpancar kasih sayang terutama kepada anak-anak. Jahat manapun si anak, sang ibu tetap menerimanya dan tidak pernah membuang mereka. Walaupun marah dan membebel menegur kenakalan anak, sekelip mata ciuman si ibu melekat pada pipi anak.

Sebab itu dalam Islam, wanita mempunyai kedudukan yang tinggi. Walaupun Allah perintahkan anak-anak menghormati dan berbuat baik ibu bapa, penghormatan lebih diberikan kepada kedudukan wanita sebagai ibu.

Ini dapat kita lihat berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya? Maka Nabi SAW menjawab: Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu. (Riwayat Muslim)

Jika tiada sebarang sambutan meraikan hari wanita, golongan tersebut tetap istimewa. Ia juga menepati konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang ditekankan oleh Ismail Sabri kerana baginya, keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

 

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia