SEJAK kelmarin, ribuan pencarum menyerbu pejabat-pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di seluruh negara untuk memindahkan wang caruman mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel. Walaupun boleh dilakukan secara dalam talian tetapi ramai yang memilih untuk terus ke kaunter.
Pencarum memberitahu, pemindahan itu dilakukan kerana mereka memerlukan wang itu untuk pelbagai tujuan. Ada yang memberi alasan untuk perbelanjaan anak di institusi pengajian tinggi, ada mahu membayar hutang tertunggak dan ada juga untuk tujuan persiapan masuk rumah baharu.
Tidak ramai yang menyimpan untuk mudah dikeluarkan jika berlaku kecemasan walaupun itu adalah matlamat utama pengenalan akaun itu.
Mereka juga mengakui jumlah yang boleh dipindahkan tidak besar tetapi sekurang-kurangnya mampu mengurangkan sedikit bebanan mereka walaupun untuk seketika.
Dianggarkan RM25 bilion akan masuk ke akaun fleksibel pada tahun pertama berasaskan corak pengeluaran daripada skim-skim sebelum ini dan akan berkurangan kepada RM4 bilion hingga RM5 bilion setahun selepas itu.
Persoalan yang timbul apabila melihat jumlah pencarum yang menyerbu kaunter KWSP itu ialah apakah ramai pencarum yang memang benar-benar memerlukan wang atau mereka hanya mengambil kesempatan kerana adanya peluang untuk mengeluarkan wang simpanan.
Apa yang dibimbangkan ialah ada yang berhasrat membeli benda yang tidak perlu. Sudah ada perbualan di media sosial tentang hasrat menukar telefon baharu.
Memang benar wang itu adalah hak pencarum tetapi tujuan akaun itu diwujudkan dan tujuan asas caruman KWSP ialah simpanan hari tua. Dengan ‘nilai’ wang yang yang semakin mengecil, setengah juta ringgit dalam masa 20 tahun akan datang tidak akan sama dengan nilainya pada hari ini.
i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sudah cukup menyusutkan simpanan sebelum ini. Simpanan KWSP tidak wajar terus dijadikan ‘penyelamat’ untuk akibat kegagalan pencarum mengawal perbelanjaan . Sepatutnya, dengan kadar dividen menarik yang diberikan oleh KWSP sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pencarum menambah simpanan.
Nasib baik kerajaan naikkan kadar caruman akaun persaraan (Akaun 1) daripada 70 peratus kepada 75 peratus. Kalau naik hingga 80 peratus lagi bagus. Pencarum akan berterima kasih apabila mencecah usia 55 kelak, .
Sudah tiba masanya untuk setiap seorang daripada 16 juta pencarum KWSP mengawal perbelanjaan terutama mereka yang tergolong dalam kelompok B40 dan M40 serta orang muda. Dalam keadaan yang mencabar hari ini, berjimat adalah segala-galanya. Elak menambah hutang.
Mengikut Jabatan Insolvensi, lebih 31,000 belia di bawah usia 35 tahun didaftarkan sebagai muflis sehingga Mei tahun lalu. Kebanyakannya kerana berhutang untuk tayang hidup mewah. Kemudian tidak mampu bayar. Hutang tertunggak adalah petanda seseorang itu sudah berbelanja melebihi daripada apa yang dia mampu. Ukur baju di badan sendiri. – UTUSAN
Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia
Wang KWSP tidak patut jadi ‘penyelamat’ selamanya

Media Mulia TV
Copyright © 2026 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved