Wajibkan rakyat mengundi

Wajibkan rakyat mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan tarikh mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu pada 19 November manakala 15 November ini untuk pengundian awal. Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November.

Gendang perang sudah bermula. Dijangka mulai minggu depan, parti-parti politik akan mula mengumumkan senarai calon masing-masing untuk merebut 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

SPR memperuntukkan RM1.01 bilion bagi menjalankan PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.66 Sabah. Selain itu, pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri iaitu Perak (59 kerusi); Pahang (42 kerusi) dan Perlis (15 kerusi) juga bakal diadakan serentak.

Seramai 21,173,638 juta orang layak mengundi berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan pada pilihan raya umum kali ini, melibatkan kali pertama undi 18 tahun dan pengundi baharu automatik. Ini termasuk 1.4 juta pengundi 18 tahun yang kali pertama mengundi pilih kerajaan.

Keputusan kini terletak pada tangan para pengundi. Jangan leka dan alpa daripada menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan yang akan menentukan hala tuju negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Lebih penting, rakyat mesti memilih kerajaan yang kukuh dan stabil untuk membantu memulihkan semula ekonomi negara dalam suasana ekonomi yang dijangka suram tahun depan.

Di sinilah signifikannya, setiap rakyat yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing. Jangan hanya menjadi rakyat pasif dan tidak mahu ambil tahu tentang politik negara.

Jangan hanya ‘bising-bising’ atau ‘memekak’ dalam media sosial. Sebaliknya terjemahkan ‘suara’ itu dalam bentuk tindakan iaitu dengan mengundi.

Dalam PRU14, jumlah keseluruhan yang keluar mengundi adalah sebanyak 82.32 peratus iaitu 12,229,514 orang daripada 14,940,624 pengundi yang berdaftar.

Dalam PRU13 pula, sebanyak 84.84 peratus atau 11,257,147 daripada 13,268,002 pengundi berdaftar keluar mengundi bagi 222 kerusi Parlimen.

Kali ini diharap peratusan yang keluar mengundi mencecah sekurang-kurang 90 peratus. Ini penting supaya keputusan PRU15 itu benar-benar mencerminkan hasrat dan keputusan yang padu rakyat.

Masalah yang dihadapi sebelum ini iaitu keculasan anak muda terutama orang Melayu berumur 18 tahun ke atas untuk mendaftar sudah diatasi dengan pendaftaran automatik. Kebimbangan kita adalah peratusan mengundi yang rendah terutama jika cuaca kurang baik.

Untuk itu, adalah baik jika kerajaan mandatorikan semua rakyat apabila cukup umur untuk mengundi. Ini sudah dilaksanakan di Singapura. Rakyat republik itu yang tidak mengundi tanpa alasan yang dibenarkan akan didenda $50 dolar seorang.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah menyebut: “Berdasarkan kepada kepentingan pelantikan pemerintah, makanya kami cenderung untuk menyatakan bahawa haram merosakkan undi. Begitu juga haram hukumnya daripada sudut syarak untuk tidak mengundi dan mendaftarkan diri sebagai pengundi”. (Bayan Linnas Siri ke-126: Hukum Merosakkan Undi, 12 Februari 2018) – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia