fbpx

24 September 2020, 5:18 pm

  TERKINI

Veveonah, internet dan Rom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu Veveonah Mosibin dianggap telah berakhir. Kerajaan telah membuat permohonan maaf secara rasmi kepada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS). Pelajar bijak dari kawasan pedalaman Sabah itu dijangka akan menyambung pelajaran dalam bidang sains marin.

Insiden “internet di atas pokok” itu mengheret Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri ke dalam kontroversi yang menjadi titik hitam kepada kerajaan.

Ketika berada di Sabah minggu lalu, kemarahan penduduk mengenai isu itu masih terasa. Ia satu tamparan dan publisiti negatif yang tidak diingini oleh kerajaan ketika negeri itu berdepan pilihan raya negeri (PRN) bagi menentukan kerajaan negeri baru.

Orang Sabah seperti rakan mereka di Sarawak, adalah umat yang bangga menjadi “Sabahan”. Walaupun negeri “Di Bawah Bayu” bukan paling pesat membangun dari segi ekonomi seperti di Selangor, kebanggaan dan harga diri penduduk setinggi gunung tertinggi di Asia Tenggara – Gunung Kinabalu.

Dalam kancah membincangkan isu ini, ada yang melontarkan perumpamaan Inggeris “Rom tidak dibina dalam sehari” bagi menghalalkan masalah internet di Sabah.

Rom mengambil masa 1,010,450 hari untuk dibina dengan kerja pembinaan bermula pada April 753 BCE (sebelum era Kristian). Empayar Rom ini antara kerajaan kuno yang terbesar bersaiz lima juta kilometer persegi tetapi pusat bandar hanya bersaiz 16 batu persegi. Adakah ia memerlukan lebih sejuta hari untuk membangunkan Rom dengan teknologi abad ke-21?

Adakah orang Rom tidak akan menggunakan kren, komputer, teknologi pembinaan terkini jika ia tersedia pada masa itu?

Putrajaya bersaiz 19 batu persegi, lebih besar berbanding pusat bandar Rom, hanya mengambil masa kurang lima tahun sebelum mula beroperasi. Kos keseluruhan Putrajaya kira-kira RM33 bilion, lebih rendah berbanding hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang masih tertunggak kira-kira RM44 bilion.

Jadi alasan internet akan mengambil masa panjang untuk diperluaskan di Sabah seperti membina Rom adalah seperti pepatah melayu “ikan di hulu tuba di hilir.”

Dengan semua teknologi, kepakaran dan kecanggihan hari ini, sukar bagi mereka yang berpelajaran untuk menerima hujah sama.

Kemudahan internet telah berada di negara ini sejak 1987. Selepas 33 tahun, untuk mengatakan ia tidak boleh disediakan memang sukar diterima. Penduduk Malaysia sama ada di Sabah atau di Kelantan wajar mendapat kemudahan asas selepas 63 tahun kemerdekaan. Yang lain hanya alasan layu.

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.