Utusan… perjuangan dan profesionalisme - Utusan Malaysia

Utusan… perjuangan dan profesionalisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERIMA kasih kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Muizzuddin Shah yang mengingatkan Utusan Malaysia bukan sekadar sebuah akhbar. Bahkan, lambang satu sejarah, satu legasi dan satu pusaka.

Genap setahun semalam selepas “bangkit semula” diterbitkan, Utusan Malaysia memiliki satu warisan perjuangan yang panjang.
Akhbar yang diterbitkan dalam bahasa rumi 1 September 1967 ini suatu ketika tidak dapat lari daripada matlamat asal akhbar pelopornya, Utusan Melayu terbitan Jawi. Tiga tahun sebelum itu, 30 Ogos 1964, naskhah mingguannya, akhbar Mingguan Malaysia terlebih dulu melewati.

Utusan tidak dilahirkan di atas dulang emas. Salah seorang pengasasnya, Allahyarham Yusof Ishak menitiskan air mata apabila dapat mencukupkan modal daripada beberapa orang Melayu bagi menerbitkan akhbar Utusan Melayu di Singapura pada 29 Mei 1939.

Yusof yang kemudiannya menjadi Presiden Singapura yang pertama berpendapat, sesebuah akhbar yang dikuasai satu-satu kumpulan tidak lagi merupakan akhbar, tetapi alat dakyah kumpulan itu. Dengan berpegang teguh kepada dasar itu, Utusan tidak takut dan tidak gentar menegur kerajaan British serta mengkritik dan menyokong parti-parti seperti parti kebangsaan Melayu.

Utusan zaman itu menyediakan mental orang Melayu menentang penjajahan Inggeris. Utusan menjadi jambatan emas kepada kemerdekaan negara ini, kuasa dan pengaruh Utusan dalam kalangan rakyat yang tidak luntur.

Wartawan-wartawan Utusan zaman itu – Yusof, Abdul Samad Ismail, Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohammad, Melan Abdullah, Osman Wok, Syed Zahari dan ramai lagi – bukan sekadar penulis tetapi terlibat secara langsung dalam sejarah nasionalisme tanah air dan rantau ini.

Dalam misi kemanusiaannya, perjuangan Utusan terserlah. Antaranya terlahir Institut Jantung Negara (IJN). Ia susulan rencana bersiri disiarkan Utusan pada Julai 1979 mendedahkan lebih 1,000 kanak-kanak dikesan menghidap jantung berlubang.

Nama-nama seperti Suriyati, 2; Melor, 3; Suzana, 4; dan ramai lagi dibiayai kos rawatan dari derma masyarakat hasil laporan Utusan.

Misi kemanusiaan sejagat Utusan inilah mendorong kerajaan segera menubuhkan Unit Jantung Negara di Hospital Besar Kuala Lumpur awal 1980-an, disusuli kemudian IJN.

Meskipun tidak tepat bagi saya menulis tentang Utusan dari awal kelahirannya kerana tidak berada dalam sejarah silam, namun sesuatu yang perlu diketahui warga Utusan hari ini adalah Utusan mempunyai keperibadiannya tersendiri. Keperibadian ini dapat dikekalkan dengan kesanggupan para pendukungnya (wartawan) mengutamakan profesionalisme dalam laporan dari kepentingan diri, seseorang atau kumpulan tertentu.

Dan dalam banyak keadaan hari ini, apa lagi dek persaingan dunia digital dengan tuntutan berita pantas dan kandungan berkualiti, jelas sekali menuntut pengorbanan lebih besar daripada yang telah diberikan oleh orang-orang yang terdahulu.
Memetik kata-kata Sultan Nazrin: Utusan berperanan sebagai kebun yang menumbuhkan benih pemikiran dan pohon intelek bangsa.

Moga-moga institusi perjuangan Utusan terus diberi hidayah dan taufik oleh-Nya.

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia
dan Mingguan Malaysia