Utuhkan kerjasama, utamakan kepentingan Melayu, Islam

Utuhkan kerjasama, utamakan kepentingan Melayu, Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kejayaan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, mulai timbul ‘resah’ dalam kalangan pe­mimpin Pakatan Harapan (PH)-DAP dan Bersatu. Kemenangan besar BN di Johor pada 11 Julai lalu dengan 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, membuktikan gandingan BN-PN mula diterima rakyat.

Formula gabungan BN-PN ini akan diteruskan dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini nanti. Gelombang kebangkitan Melayu yang dibawa oleh UMNO dan Pas menerusi kerjasama BN-PN ini telah membangkitkan sema­ngat orang-orang Melayu yang selama ini ‘terlena’. Malah ‘kekoyakan’ dalam UMNO juga kini mula bertaut kembali dengan kewujudan gagasan Rumah Bangsa di mana ahli-ahli UMNO yang dipecat atau digantung kini kembali menguatkan parti.

Gagasan Rumah Bangsa kini dilihat menjadi wadah yang menghimpunkan individu dan kelompok yang berkongsi aspirasi untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Konsep ini menekankan sema­ngat kebersamaan, perpaduan dan kesediaan untuk mengetepikan perbezaan demi mencapai matlamat yang lebih besar iaitu penyatuan Melayu dan Islam.

Rumah Bangsa turut berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pelbagai kelompok masyarakat. Melalui pendekatan yang inklusif, ia mampu merapatkan jurang perbezaan dan menggalakkan kerjasama dalam kala­ngan rakyat. Perpaduan yang kukuh akan mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan stabil.

Rumah Bangsa ini juga menyediakan peluang kepada pelbagai pihak untuk berkongsi pandangan, mencari titik persamaan dan menyelesaikan perbezaan secara matang serta berhemah.

Melihat kepada aspirasi Rumah Bangsa ini, Pas melalui Gerakan RESET bersama Parti Wawasan Negara dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bersedia bekerjasama dengan UMNO untuk mengharungi setiap pilihan raya sama ada pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum demi masa depan negara dan rakyat semua kaum.

Bersandarkan kejayaan hasil muafakat BN-PN melalui gagasan Rumah Bangsa dan kekalahan teruk PH-DAP dan Bersatu, rata-rata pemimpin PH-DAP dan Bersatu kini dilihat mulai resah. Kegusaran ini jelas apabila ada pemimpin DAP mula melatah dan Angkatan Muda Harapan (AMH) pula menggesa semua menteri dan timbalan menteri dari BN untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet susulan kerjasama BN dengan PN di

Johor dan Negeri Sembilan. Namun, kenyataan tersebut tidak sedikitpun menggentarkan pemimpin-pemimpin UMNO dalam Kabinet yang bersedia digugurkan jika mereka tidak diperlukan lagi.

Kini gelombang kerjasama BN-PN sudah memasuki Negeri Sembilan dan seterusnya akan ke Melaka dan lain-lain negeri. Kebangkitan BN-PN ini harus menekankan penya­tuan, kebersamaan dan tanggungjawab bersama dalam membina masa depan yang lebih baik. Perlu diingat, untuk mengekalkan kekuatan, kerjasama harus utuh. Tidak harus ada rasa tamak untuk menjadi pemimpin utama. Ketamakan hanya akan merobekkan kerjasama yang dibina, sekali gus meruntuhkan kerjasama untuk kepentingan Melayu dan Islam.

 

Imran Mohamad Nor, Pengarang Berita Utusan MalaysiaUTUSAN