Urus TH secara profesional

Urus TH secara profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kelmarin, perhatian jutaan umat Islam Malaysia tertumpu kepada Sidang Khas RCI Tabung Haji (TH) yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Sejumlah 37 ahli Parlimen turut mengambil bahagian dalam sesi perbahasan yang berlangsung dari pagi hingga hampir pukul 10 malam.

Semua ini membuktikan betapa institusi yang ditubuhkan pada tahun 1963 amat penting dan bermakna kepada umat Islam di negara ini.

Kita tidak nafikan, sejak penubuhannya hingga ke hari ini, TH berjaya menjalankan tugas utamanya membantu umat Islam di negara ini membuat simpanan secara patuh syariah bagi tujuan menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci Mekah.

TH berperanan penting sebagai pengurus simpanan, pelaburan, dan operasi haji bagi rakyat Malaysia. Keistimewaan menyimpan di sini, antaranya adalah patuh syariah 100 peratus, tiada caj perkhidmatan atau faedah dan dividen tahunan kompetitif (bergantung kepada pres­tasi pelaburan).

Kita juga diberi jaminan simpanan pendeposit selamat dengan keseluruhan simpanan setiap pendeposit TH dijamin oleh kerajaan di bawah Seksyen 24 Akta 535. Jaminan yang wujud sejak Tabung Haji ditubuhkan dan masih kekal sehingga ke hari ini.

Antara syor kelmarin, dana dan pelaburan TH bakal diletakkan di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti (SC) antara syor pasukan kerja RCI TH termasuk pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Sebelum ini syor adalah penubuhan sebuah jabatan khusus dikenali sebagai Dana Haji di bawah TH bagi me-ngurus dana pendeposit dengan kawal selia SC untuk meningkatkan profesionalisme pengurusan pelaburan tanpa perlu dijadikan sebuah syarikat subsidiari.

Di sebalik mengalu-alukan syor itu, reformasi pengurusan pelaburan TH juga perlu memberi keutamaan kepada pulangan yang stabil. Ini bagi memastikan simpanan pendeposit diurus dengan risiko terkawal.

Ia juga perlu pastikan dana pendeposit diurus secara profesional, bebas daripada campur tangan yang tidak wajar serta mempunyai kawalan risiko lebih kukuh.

Selain itu, TH perlu ada unit pengurusan pelaburan yang profesional seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain mengamalkan sistem dan peraturan pelaburan yang ketat.

Kita rasa lega kerana kedudukan TH hari ini stabil dan semakin kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion me­lebihi liabiliti RM95.63 bilion pada 31 Disember 2025.

Dana simpanan pendeposit meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025 selain kadar agihan meningkat daripada 1.25 peratus (2018) kepada 3.50 peratus (2025), berjumlah RM3.22 bi­lion.

Dalam masa sama, TH perlu kekal sebagai peme­gang amanah dengan menetapkan mandat pelaburan jelas manakala institusi profesional mengurus strategi pelaburan berdasarkan kepakaran serta pengurusan risiko.

Penyerahan pengurusan pelaburan itu tidak boleh dianggap sebagai pemberian kuasa tanpa kawalan, sebaliknya perlu disertai garis panduan ketat.

Selepas mendapat pelbagai pengiktirafan dunia sebagai pengendali terbaik haji, kita tidak rela melihat TH gagal. Jika TH runtuh, hilanglah maruah umat Islam di Malaysia.

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia

×