Undi18 jalankah 2021? - Utusan Malaysia

Undi18 jalankah 2021?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIONEL Messi, 33 tahun. Cristiano Ronaldo, 36. Masih menggila menjaringkan gol. Namun usia 30-an tidak lagi milik emas kedua-duanya yang gagal corakkan pasukan ke final Liga Juara-Juara.

Valentino Rossi, 42, juara dunia 15 kali, naik podium 235 kali masih enggan bersara biarpun terus terperosok selepas empat perlumbaan musim ini.

Masa saya sekolah dulu saya ingat dua nama presiden Amerika, Ronald Reagan dan Jimmy Carter. Di UK, PM nya Margaret Tatcher. Di Indonesia, presidennya Suharto. Di Filipina, Marcos. Di India, Indira Ghandi. Singapura, Lew Kuan Yew. Di Jepun, Nakasone. Di Mesir, Anwar Sadat.

Hari ini dalam pentas politik dunia, mereka sudah tiada. Tapi di Malaysia masih lagi dengan nama-nama sama memenuhi ruang akhbar bicara politik negara. Nama-nama pemimpin yang saya baca suratkhabar sejak sekolah menengah lagi – Dr. Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Hadi Awang, Najib Razak, Tengku Razaleigh Hamzah, Mohamad Sabu dan beberapa lagi.

Jika pendekatan untuk generasi muda dan baharu hari ini dipraktikkan, adakah akan ikut acuan pemimpin era 80-an ini?

Malaysia sedang meniti perubahan itu. Pelaksanaan pengundi automatik 18 tahun atau Undi18, sekali gus menjadi calon pilihan raya umum ke-15 amat dinantikan. Awal bulan ini, menteri berportfolio parlimen dan undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyuara jaminan pelaksanaannya tahun 2021 ini, biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka hanya terlaksana selepas 1 September 2022.

Bolehkah Undi18 menjadi realiti selepas 16 Julai 2019 Dewan Rakyat meluluskannya dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan?

Cabarannya agak rumit. Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19) harus dipinda dahulu. Tetapi akta itu tidak dipinda (manakala) peraturan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya juga tidak diubah.

Walaupun perlembagaan sudah dipinda di bawah Perkara 48 misalnya, masih tidak boleh dijalankan Undi18 lantaran saluran tidak disediakan. Masih tiada prasarananya menerusi undang-undang pilihan raya. Jawatankuasa PRU telah tertinggal sesuatu yang asas iaitu asas peraturan dan undang-undang sampingan kepada pindaan perlembagaan yang dibuat.

Persediaan SPR ke arah undi18 bergantung pada setakat mana ia luluskan pindaan. Pindaan tak berjalan, jadi macam mana nak buat?

Konsep kerja harus dihalusi. Kena tengok mana akta yang signifikan. Senaraikan dan jumpa dengan SPR. Ada dua akta, berkaitan kesalahan pilihan raya serta peraturan pendaftaran, beri penerangan dan injunksi. Ini semua perlu dibuat. Kalau tidak, bila lagi masanya?

Barangkali kena buka sidang parlimen juga dengan hanya dipinda peraturan. Cuma, kalau dibawa ke mahkamah nanti macam mana?

Kelihatan sukar untuk Undi18 terlaksana tahun ini di sebalik ancaman pandemik Covid-19 yang kian serius. Bahkan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pun sudah bersuara. Penerangan mesti dibuat oleh menteri berkenaan.

Messi, Ronaldo dan Rossi masih merasakan mereka handal, biarpun digugat muka baharu yang impiannya menggunung.

Malaysia perlu mengorak langkah ke perubahan politik baharu. Pemimpin politik sedia ada perlu memikirkannya, demi kebaikan anak cucu kita juga. Titik mulanya dari Undi18.

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya