Undang-undang alam sekitar sekadar ada

Undang-undang alam sekitar sekadar ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pendedahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada Utusan Malaysia tentang pelanggaran syarat laporan Penilaian Impak Terhadap Alam Sekeliling (EIA) daripada tanaman getah kepada durian di Gunung Inas, Baling adalah sesuatu yang mengejutkan.

Sebabnya, impak penanaman durian adalah berbeza dengan spesis ladang pokok hutan dan pokok durian Musang King bukanlah dalam senarai pokok ladang hutan yang diluluskan Jabatan Perhutanan.

Untuk rekod bencana insiden dari Gunung Inas pada petang 4 Julai lalu mengorbankan tiga individu termasuk seorang wanita hamil. Mangsa dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir yang melanda Kampung Iboi, Baling. Selain itu, ia menjejaskan ribuan penduduk di situ yang kehilangan harta-benda.

Memang projek berdekatan kawasan bencana itu mempunyai kelulusan Laporan EIA pada 25 Julai 2013 untuk projek perladangan hutan.

Namun, projek itu didapati melanggar syarat kelulusan laporan EIA iaitu mengubah spesies tanaman dari Timber Latex Clone (TLC) iaitu pokok getah kepada penanaman durian Musang King, kata Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Kerajaan Negeri Kedah melalui Mesyuarat Exconya telah meluluskan lebih kurang 20 peratus kawasan tersebut untuk ditukar daripada tanaman TLC kepada tanaman Musang King tanpa membuat permohonan awal kepada JAS.

Sepatutnya Kerajaan Negeri kena mohon dulu kepada JAS bahawa ada perubahan komponen tanaman untuk menukar tanaman TLC kepada durian Musang King. Permohonan itu hanya diterima Jun lalu. Pendek kata, cara Kerajaan Negeri Kedah meluluskan terlebih dahulu tanpa rujuk JAS adalah salah.

Perkara begini nampaknya kerap berlaku di negara kita. Undang-undang yang diwujudkan untuk mengawal pencemaran dan alam sekitar nampaknya tidak dipeduli apabila bertembung dengan hal yang ada nilai komersial atau membawa untung besar.

Malangnya, yang menjadi mangsa adalah rakyat biasa. Mereka ibarat timun dengan durian. Digolek luka, tergolek pun cedera.

Dalam kes ini, sebanyak 802 rumah dilaporkan terkesan dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur yang melanda 12 kampung di mukim Kupang, Baling. Daripada jumlah itu, 15 rumah dilaporkan musnah sepenuhnya manakala 18 lagi rosak teruk.

Di bawah Seksyen 34A(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menetapkan mana-mana orang yang berhasrat menjalankan apa-apa Aktiviti Yang ditetapkan dalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 hendaklah menjalankan kajian penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA) dan mengemukakan kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Malangnya, ada yang tidak pedulikan kajian EIA sehingga menampakkan undang-undang itu sekadar ada dan boleh dicabuli. – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya