UMNO perlu berani berubah - Utusan Malaysia

UMNO perlu berani berubah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah menunjukkan kehendak rakyat dan pengundi terhadap parti-parti politik yang mana menjadi pilihan untuk mentadbir negara.

UMNO parti Melayu terbesar yang mendasari Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 26 kerusi Parlimen, jauh sekali untuk menjadi dominan maka akhirnya terpaksa berkongsi kuasa atas nama kerajaan perpaduan. Isyarat jelasnya parti itu ditolak majoriti besar rakyat.

Atas kertas, pengalaman UMNO sendiri mentadbir negara bersama komponen dalam BN tidak boleh dinafikan, malah selama kira-kira 62 tahun di bawah BN banyak kemajuan untuk rakyat dilaksanakan.

Namun, kebajikan yang dibuat selama itu seperti tidak dihargai dan diyakini lagi.
Maka, parti yang banyak berjasa itu ditolak. Rekod pencapaian lalu bukan lagi modal berharga, sebaliknya integriti pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat lapisan menjadi ukuran.

Justeru, amat wajar Perhimpunan Agung UMNO 2022 sepatutnya bukan hanya terikat dengan ucapan perwakilan tetapi perlu menjadi titik permulaan langkah berani untuk melakukan perubahan di semua sudut jika mahu melihat parti itu kembali bangkit dan diterima rakyat.

Jika tidak, ia akan dilihat hanya menuruti ketetapan agenda mesyuarat tahunan yang tidak akan menguntungkan, sebaliknya satu kerugian yang akhirnya tidak mampu mengubah apa-apa.

Ahli UMNO perlu terbuka untuk menerima perubahan. Jika ditelan sepahit ubat sekalipun jika ia mujarab kenapa perlu dihalang. Namun, keputusan terserah kepada perwakilan.

Sejak Undi18 diluluskan Parlimen, senario perubahan geopolitik di negara ini amat berbeza. Selera orang muda tidak boleh disamakan dengan golongan lebih berusia. Ibarat kucing yang diberikan makanan proses tidak akan menjamah tikus yang melintas di depannya.

UMNO memerlukan anjakan kepemimpinan yang lebih segar, bersih, hebat dan diterima bukan sahaja rakyat tetapi juga ahli-ahli parti. Menuntut perubahan dalam UMNO sudah lama diperkatakan, malah keberanian ini juga perlu dilakukan di akar umbi. Inilah proses demokrasi.

Ibarat pepatah tebang dahan tua tidak akan mematikan pokok, tetapi melahirkan tunas muda yang pasti akan lebat buahnya.

Perkara ini telah disuarakan ramai pemimpin UMNO. Buka pertandingan untuk semua jawatan dan bukannya mengecualikan jawatan-jawatan tertentu. Mereka menyifatkan demokrasi perlu subur dalam parti itu dan kekalahan teruk dalam PRU15 perlu ada yang bertanggungjawab.

Justeru, suara perwakilan yang akan berbahas akan menjadi perkara yang ditunggu-tunggu oleh semua orang. Bicara mereka akan dinilai untuk melihat kematangan berfikir selepas dibadai teruk dalam pilihan raya umum dan persediaan ke arah enam pilihan raya negeri (PRN).

Di manakah UMNO akan berdiri bersama pada kali ini, tunggu dan lihat.

 

Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya