Ubah strategi pikat belia ceburi pertanian - Utusan Malaysia

Ubah strategi pikat belia ceburi pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN perangkaan menyebut import makanan di negara ini berjumlah RM55.4 bilion pada tahun lalu. Jumlah tersebut meningkat dari tahun ke tahun sejak tahun 1995.

Angka yang besar itu menunjukkan Malaysia masih terlalu bergantung kepada sumber import. Hakikatnya keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana iklim di negara ini tidaklah jauh berbeza jika dibandingkan dengan jiran Thailand.

Kenapa Thailand begitu maju dalam bidang pertanian? Apakah menyebabkan sektor pertanian masih perlahan di negara ini, sedangkan Malaysia mempunyai sebuah kementerian khusus yang di bawahnya beberapa agensi Persekutuan dan Negeri yang berfungsi merancang, mengawal dan menentukan masa depan bidang tersebut.

Dasar Pertanian Negara terlalu komprehensif atas kertas. Namun, masalah yang selalu dibangkitkan adalah tentang isu tanah dan tempat. Tanah pula di bawah kerajaan negeri.

Prospek pendapatan dalam pertanian besar, namun masih tidak dapat menarik golongan belia menceburinya terutama dalam kalangan siswazah. Kadarnya masih terlalu rendah.

Akibat sikap memilih dan menetapkan perspektif rendah terhadap sektor ini menyebabkan sektor pertanian makanan banyak dipelopori warga asing manakala syarikat besar pula lebih berminat kepada tanaman komoditi.

Data perangkaan menyebut jumlah siswazah menganggur meningkat sebanyak 22.5 peratus kepada 202,400 orang pada 2020 berbanding 165,200 pada tahun sebelumnya.

Kalau dibuat bancian, berapa ramaikan dalam kalangan mereka yang berminat bermandikan tanah dan selut, berpanas di bawah terik matahari. Sedangkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) telah membuktikan sektor pertanian mampu menjadikan petani di sana sebagai jutawan untuk beberapa keturunan.

Ini persoalan menarik yang perlu dirungkai. Apakah inisiatif terbaik untuk menarik minat golongan belia merebut peluang dalam sektor ini sekali gus mengatasi masalah pengangguran yang mencecah 768,700 sehingga Jun lalu.

Lebih memburukkan keadaan pandemik Covid-19 yang melanda dunia menjejaskan banyak perkara termasuklah ekonomi penduduk. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020, sebanyak 10,317 individu diisytiharkan muflis.

Kebanyakan mereka ini kehilangan kerja dan sumber pendapatan sehingga menjejaskan kewangan masing-masing.

Namun, di sebalik pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tentang perancangan Belanjawan 2022, bidang pertanian akan diberikan tumpuan yang lebih, sekali gus dijangka mengubah persepsi terhadap sektor berkenaan.

Ya. Sudah tiba masanya pertanian kembali diberikan keutamaan dan mengurangkan kebergantungan import untuk jangka panjang dan jaminan makanan negara.

Ayuh belia. Rebutlah peluang ini dengan menjadikan sektor pertanian sebagai alternatif baharu dalam membentuk kerjaya yang lebih hebat.

Semua pihak perlu bersedia ke arah ini terutamanya kerajaan negeri apabila dibangkitkan tentang isu tanah dan kawasan.

Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia