Tol: Kemudahan biar pelbagai - Utusan Malaysia

Tol: Kemudahan biar pelbagai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKNOLOGI Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) merupakan sistem terbaharu yang diperkenalkan oleh Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) kepada pengguna bagi menggantikan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG sedikit demi sedikit selepas ini.

Dianggarkan lebih 10 juta kenderaan akan beralih kepada penggunaan sistem RFID apabila perkhidmatan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG dimansuhkan di lebuh raya PLUS nanti.

Tidak seperti SmartTAG yang mengimbas isyarat inframerah, RFID menggunakan frekuensi radio untuk diimbas di lorong tol. Ia hanya boleh berfungsi dengan aplikasi TNG eWallet selepas didaftarkan.

Tambang tol pula ditolak daripada akaun TNG eWallet yang didaftar. Tidak seperti perkhidmatan lain, RFID hanya boleh digunakan untuk kereta yang dipasang dan didaftarkan sahaja, namun fungsinya tetap sama seperti penggunaan kad Touch ‘n Go serta SmartTAG.

Bezanya tambang Touch ‘n Go ditolak daripada jumlah nilai yang ditokok dalam kad manakala RFID ditolak daripada akaun TNG eWallet. Bagi pengguna yang celik teknologi, proses untuk mengaktifkan RFID tidak membebankan, tetapi bagaimana dengan masyarakat luar bandar?

Pak Mat yang mahu menziarah anaknya di bandar hanya tahu membuat bayaran tambah nilai kad Touch ‘n Go di stesen-stesen minyak di sepanjang lebuh raya dan dia yang jarang membuat perjalanan jauh mungkin tidak tahu bagaimana mahu berurusan dengan eWallet.

Mungkin Pak Mat adalah salah seorang daripada ribuan pemilik kenderaan khususnya di luar bandar dan golongan warga emas yang tidak mustahil berdepan dengan masalah yang sama jika PLUS tidak tampil dengan kaedah memudah cara penggunaan RFID.

Penggunaan RFID mestilah mesra pengguna. Syarikat yang mengendalikan RFID perlu melihatnya secara holistik.

Pengguna juga mengeluh apabila membangkitkan persoalan tentang keperluan memansuhkan penggunaan Touch ‘n Go serta SmartTAG jika ramai yang selesa dengannya. Fungsinya tetap sama.
Langkah memperkenalkan RFID sepatutnya dilihat dari sudut memperbanyakkan pilihan kepada pengguna dan bukannya mengehadkannya kepada satu produk semata-mata.

Walaupun RFID dianggap lebih baik, namun PLUS masih perlu memberikan masa yang lebih kepada pengguna untuk menyesuaikan diri disertakan dengan kempen promosi dan penjelasan yang lebih berkesan tentang penggunaannya.

Sesi penerangan kepada orang awam perlu lebih efektif dan dilanjutkan lagi, malah harga pengenalan kepada pakej permulaan RFID juga perlu dikaji semula ketika ramai rakyat yang masih dalam fasa pemulihan selepas terkesan dengan penularan Coid-19. Ini juga perlu diambil kira.

Meor Harman Meoer Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya