Tiru cara Jepun baiki jalan - Utusan Malaysia

Tiru cara Jepun baiki jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDEDAHAN tentang keadaan aset jalan raya yang sema­kin berusia termasuk permukaan jalan, turapan dan tero­wong menjadi antara cabaran utama kerajaan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin mesti diberi perhatian.

Kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebahagian jalan raya di negara ini sudah berusia dan tidak lagi mempunyai kekuatan seperti ketika mula dibina, sekali gus lebih terdedah kepada kerosakan.

Memang diakui, selain faktor manusia, kemalangan jalan raya juga berlaku berpunca daripada keadaan bentuk muka bumi jalan dan faktor kenderaan.

Bagi Malaysia, hal ini mesti diberi penekanan terutama dalam usaha kerajaan mengatasi nahas jalan raya. Sebabnya, statistik menunjukkan 18 nyawa terkorban setiap hari di seluruh negara tahun lalu.

Panjang keseluruhan sistem lebuh raya bertol di Malaysia ialah kira-kira 5,027 kilometer (km). Lebuh raya terpanjang ialah Lebuhraya PLUS iaitu kira-kira 847.7km dari Bukit Kayu Hitam ke Johor Bahru.

Antara isu utama menyelenggara dan membaik pulih jalan raya adalah soal peruntukan. Yang sering kita dengar, jalan lambat diselenggara dan dibaik pulih kerana tidak ada bajet.

Sebab itu, antara cadangan yang dilihat praktikal adalah kerajaan disaran memanfaatkan hasil kutipan cukai daripada pengguna jalan raya termasuk cukai jalan untuk membiayai penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur jalan raya yang rosak.

Ini antara yang diusulkan oleh Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya serta Sukan Permotoran Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri.

Katanya, hasil cukai daripada pengguna jalan raya termasuk cukai jalan wajar dimanfaatkan secara lebih jelas bagi membiayai kerja penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur jalan raya yang rosak.

Bukan bermakna setiap ringgit yang dikutip mesti dikembalikan secara terus kepada jalan tertentu. Namun rakyat berhak mengetahui berapa yang dikutip, berapa yang diperuntukkan, bagaimana keutamaan ditentukan dan apakah hasil sebenar daripada perbelanjaan tersebut. Ini soal kete­lusan dan akauntabiliti penggunaan wang awam.

Secara kasar, kerajaan dijangka mampu mengutip kira-kira RM3 bilion setahun hasil cukai jalan. Anggaran itu berdasarkan hampir 30 juta kenderaan di Malaysia dengan andaian purata cukai jalan RM100 bagi setiap kenderaan setahun.

Isu jalan rosak tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu kekurangan peruntukan kerana keberkesanan pe­rancangan, pelaksanaan dan pemantauan penyelenggaraan turut perlu diberi perhatian.

Kita perlu lihat bagaimana Jepun menangani isu jalan rosak. Jepun membaiki jalan rosak dengan sangat pantas, teliti dan menggunakan teknologi moden seperti pengimbas laser dan pemadatan pintar.

Mereka terkenal kerana mampu membaiki lubang jalan atau runtuhan besar dalam masa 48 jam sahaja (seperti kes lubang benam di Fukuoka).

Dalam masa sama, penyelenggaraan awal juga pen­ting. Antaranya, menutup retakan kecil sebelum ia menjadi lubang besar; menggunakan bahan turapan canggih yang tahan lasak dan fleksibel.

Paling penting jangan biarkan ada lopak air di atas jalan kerana ia akan menjadi punca kerosakan yang lebih parah. – UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia

×