Jumaat lalu negara digemparkan dengan kejadian serangan seorang pemuda yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram di Johor. Dua anggota polis terbunuh dan penyerang juga ditembak mati.
Ahli keluarga pemuda berkenaan pula masih direman untuk membantu siasatan.
Pada hari yang sama juga, dua lelaki ditahan di pintu masuk Istana Negara kerana cuba memasuki kawasan tersebut dan pemeriksaan polis dalam kenderaan mereka menemukan terdapat sebilah parang.
Kedua-dua mereka telah dihadapkan ke mahkamah dan kedua-dua mereka mengaku bersalah.
Keesokannya pula Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa menerima kertas ugutan mahu membunuhnya bersama dua butir peluru. Dakwanya, beliau tidak tahu motif ugutan itu dan kesalahan apa yang telah dilakukannya. Sehingga kini siasatan masih dijalankan.
Pihak polis perlu menyiasat tiga kes tersebut sedalam-dalamnya dan mencari punca kenapa mereka yang terbabit mengambil tindakan sedemikan. Ini penting supaya kejadian sama tidak berulang lagi. Ini soal keselamatan rakyat dan negara. Malah boleh menjejaskan imej di negara pada dunia dengan spekulasi liar tidak berasas.
Siapa mereka? Apakah sebab mereka bertindak sedemikian? Apa yang mendorong pemuda berkenaan untuk menyerang anggota polis? Kenapa Istana Negara menjadi sasaran dan atas dasar apa pula ugutan dibuat terhadap Teresa Kok? Semua persoalan ini perlu dijawab oleh pihak berkuasa.
Ketiga-tiga kejadian itu pula berlaku dalam sela masa yang dekat.
Pasti mereka yang terbabit dalam tiga insiden berkenaan ada alasan bertindak sedemikian sehingga percaya matlamat menghalalkan cara. Apapun sasaran yang mahu mereka capai, tindakan keganasan sama sekali tidak boleh diterima di negara ini.
Jenayah yang mereka lakukan itu tidak boleh berulang dan spekulasi tidak berasas juga perlu dihentikan. Kejadian seperti itu hanya menimbulkan imej tidak sepatutnya dan ia terbukti apabila negara jiran juga mula mengambil langkah meningkatkan keselamatan sempadan.
Yang lebih malang apabila tindakan mereka dikaitkan dengan kumpulan agama dan kaum tertentu. Ia juga seperti memperlihatkan isu perpaduan masyarakat majmuk di negara ini begitu rapuh.
Tindakan pantas pihak berkuasa dalam tiga insiden berkenaan amat dipuji yang dapat mengelak kejadian lebih buruk daripada berlaku. Cukuplah dengan gelora politik yang berlaku, negara tidak boleh lagi menerima isu-isu yang mengancam keselamatan dan insiden yang berisiko merosakkan ekonomi negara.
Apapun langkah-langkah risikan pihak berkuasa terhadap sebarang isu berkaitan keselamatan perlu dipertingkatkan supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan lebih awal.
Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia
Tiga insiden jenayah yang perlu ditangani segera

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved