Tidak perlu pertikai Melayu di sektor awam

Tidak perlu pertikai Melayu di sektor awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di Malaysia penguasaan sesuatu sektor oleh mana-mana kaum bukan disebabkan oleh polisi atau dasar kerajaan tetapi di­sebabkan oleh kecenderungan dan tradisi yang telah disusun atur sejak zaman penjajahan Inggeris.

Dasar pecah dan perintah Inggeris menyebabkan polarisasi kaum di negara ini. Perkara itu cuba dibetulkan melalui pelbagai dasar oleh kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan. Dasar-dasar itu terus diperkemaskan lagi selepas insiden 13 Mei 1969 termasuk melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Tiga kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India mempunyai kecenderungan sendiri dalam sektor pekerjaan. Melayu yang mewakili lebih 60 peratus populasi penduduk tentunya nampak lebih dominan di sektor awam tetapi mereka kurang di sektor swasta yang menawarkan imbuhan lebih tinggi.

Ketika jawatan-jawawan utama di perkhidmatan awam didominasi oleh Melayu sektor swasta pula majoritinya dikuasai oleh bukan Melayu. Tidak ada polisi yang melarang bukan Melayu daripada memohon jawatan di sektor awam.

Tidak ada polisi yang menghalang pengambilan mereka. Malah kerajaan sentiasa menggalakkan bukan Melayu mengisi jawatan-jawatan tersebut termasuk dalam bidang pendidikan, ketenteraan dan kepolisan.

Tetapi mungkin disebabkan imbuhan kewangan kurang menarik maka mereka yang bukan Melayu lebih gemar ke sektor swasta yang menjanjikan gaji lebih lumayan.

Sebab itu bidang perniagaan di negara ini majoritinya dikuasai oleh bukan Melayu kerana pulangan yang lebih lumayan. Sedangkan Melayu pula mengisi jawatan-jawatan kerajaan yang disifatkan lebih terjamin dan risiko rendah walaupun gajinya kecil.

Oleh itu melemparkan cadangan supaya direformasikan perkhidmatan awam berdasar hujah ia memihak kepada pe­nguasaan Melayu adalah tidak berasaskan. Ia hujah lama yang tidak lagi boleh dipakai. Ini kenyataan yang dibuat bersandarkan kepada emosi sambil merujuk kepada kes-kes terpencil. Sedangkan pengisian di sektor awam terbuka kepada semua kaum berdasarkan kelayakan.

Hujah penguasaan ekonomi pula perlu dilihat secara menyeluruh. Tidak adil jika dirujuk kepada isu-isu tertentu dan yang terpencil sahaja. Tidak adil sekiranya hanya menggunakan sektor awam untuk mengaitkan penguasaan atau cubaan menetapkan hegemoni Melayu dalam ekonomi.

Bagaimana dengan sektor perniagaan, sektor industri, sektor pengeluaran dan pelbagai lagi sektor ekonomi? Adakah ia dimonopoli oleh satu kaum sahaja? Rasanya tidak. Sebab itu hujah-hujah seperti ini perlu dilihat dalam aspek yang lebih besar dan lebih terangkum.

Untuk itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil pendekatan yang bijak dengan menegaskan ke­rajaan tidak mempertimbang untuk membuat sebarang perubahan mengenainya.

Namun kata Anwar, setiap individu rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pandangan. Namun pandangan itu tidak semestinya mempengaruhi keputusan kerajaan.

Tetapi, sebagai pemimpin, hati-hati apabila mengeluarkan sesuatu kenyataan. Jangan hanya sekadar untuk tujuan populis tanpa memikirkan kesannya kepada keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini. – UTUSAN

  • Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia