Tidak akan ada peluang ketiga

Tidak akan ada peluang ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada siapa yang mahu diisytiharkan muflis. Tidak mudah untuk hidup dengan status tersebut walaupun seseorang itu masih dibenarkan untuk bekerja. Kalau kakitangan kerajaan, status itu boleh mengakibatkan mereka dikenakan tindakan tatatertib atau dipindahkan ke jabatan lain.

Apa yang sering berlaku ialah kecuaian dan kesilapan sendiri yang mengheretkan seseorang ke dalam status bankrap. Pinjaman peribadi, kad kredit dan konsep ‘beli dulu bayar kemudian’ adalah antara puncanya. Semua ini sebenarnya boleh dielak jika kita ada kesedaran dan ilmu kewangan.

Menurut cerita seorang teman, selepas dia diisytiharkan muflis, dia perlu melaporkan diri ke Jabatan Insolvensi untuk mengisi dokumen tertentu dan mengisytiharkan segala aset yang ada, hutang-hutang dan juga pinjaman. Akaun bank akan dibekukan atau ditamatkan dengan segala baki diserahkan pihak pihak insolvensi.

Katanya, keluarga terpaksa banyak berkorban. Dia di­sara oleh isterinya. Tiada lagi percutian, tiada lagi makan-makan di luar, tiada lagi beli-belah dan tidak boleh keluar negara tanpa kebenaran. Semuanya demi menyelesaikan semua hutang dan mahu keluar dari status tersebut. Dia bernasib baik kerana rumah dan keretanya tidak dirampas.

Dia menambah, walaupun Jabatan Insolvensi cuba membantu sebaik mungkin untuk memudahkan kehidupan tetapi hakikatnya, hidup dia berubah 360 darjah. Dia perlu terus membayar hutang supaya akhirnya nanti boleh memohon pelepasan daripada status tersebut.

Mendengar cerita kawan itu sewajarnya memberi kesedaran kepada kita semua supaya lebih berhati-hati dalam soal kewangan. Jangan terlalu mahukan hidup yang kelihatan mewah dan bergaya sehingga sanggup berhutang mengatasi kemampuan kewangan kita.

Menurut laporan, lebih 35,000 belia berusia 35 tahun ke bawah didaftarkan sebagai bankrap hingga Mei tahun ini. Statistik Jabatan Insolvensi juga merekodkan, seba­nyak 5,695 kes muflis sepanjang tahun lalu dengan 419 daripadanya berusia 25 hingga 34 tahun.

Menjadi muflis dalam usia semuda itu bukan sahaja menyusahkan diri sendiri dan keluarga tetapi juga kerajaan. Tak berbaloi. Silap-silap hendak kahwin pun boleh terbatal.

Justeru, apabila kerajaan memperkenalkan Dasar Peluang Kedua, ia membuka ruang untuk kelompok ini kembali bernyawa. Ia tidak hanya memberi peluang kedua kepada golongan muflis, tetapi turut dapat menangani stigma masyarakat terhadap individu bankrap yang boleh mempengaruhi kesejahteraan mental dan emosi mereka.

Sejumlah 142,510 orang telah ‘dilepaskan’ daripada status kebangkrapan di bawah dasar itu. Jumlah itu mele­bihi sasaran 130,000 setahun yang ditetapkan oleh kerajaan. Diharapkan, pada tahun-tahun mendatang, lebih ramai akan dilepaskan.

“Kadang-kadang muflis ini mungkin kesalahan, ke­cuaian dia atau keadaan ekonomi, terkesan kerana tempoh Covid-19 atau sebelumnya disebabkan kelembapan ekonomi yang menjejaskan kedudukan mereka atau kesilapan peniaga,’’ kata Perdana Menteri.

Peluang yang diberikan ini perlu diambil dengan ta­ngan terbuka dan azam yang kuat untuk tidak lagi meng­ulangi kesilapan yang lalu. Pengalaman lalu juga tentunya membuka perspektif berbeza dalam menguruskan hutang dan kewangan mereka. Perlu diingat, tidak akan ada peluang ketiga. – UTUSAN

Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia