Tiada tindakan terhadap IJM dan pengerusi tetapi kerosakan telah belaku - Utusan Malaysia

Tiada tindakan terhadap IJM dan pengerusi tetapi kerosakan telah belaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMINAT tegar Liga Perdana England mesti membaca mengenai komen antara paling viral oleh pengulas bola sepak Jamie Carragher terhadap pemain Manchester United Casemiro. Carragher yang juga bekas pemain Liverpool pada 2024 menyatakan bahawa Casemiro “harus meninggalkan bola sepak sebelum bola sepak meninggalkan anda”.

Komen itu dikeluarkan selepas persembahan hambar ketua pasukan Brazil itu dalam perlawanan liga yang menyaksikan Manchester United tewas 4-0 kepada Crystal Palace.

Carragher menambah “Bola sepak telah meninggalkan dia. Pada peringkat tinggi, dia patut bersara pada tahap ini dan berhenti.”

Dua tahun selepas komen itu, Casemiro memberikan persembahan terbaik untuk MU yang menyaksikan dia menja­ringkan sembilan gol dan membantu MU ke piala Juara Juara.

Casemiro yang memainkan perlawanan terakhir di Old Trafford semalam dan disanjung peminat, membalas kenyataan Carragher sebagai keterlaluan dan “tidak hormat”.

Sebelum ini Casemiro berkata, kenyataan itu mungkin kerana dua perlawanan akhir Juara Juara dimenangi Casemiro terhadap Liverpool pasukan yang dianggotai Carragher.

Kenyataan Carragher itu membuka ruang kepada kritikan berterusan terhadap Casemiro sehingga berakhirnya kareer pemain Brasil itu di MU.

Di Malaysia, apabila IJM Corporation Berhad (IJM) dan pengerusi syarikat itu, Tan Sri Krishnan Tan dikaitkan dengan dakwaan pengubahan wang haram RM2.5 bilion, beliau yang berusia 73 tahun ditahan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil kenyataan sebelum dibebaskan.

Menurut laporan berita, dia ditahan bagi membantu siasatan membabitkan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Minggu lalu, IJM mengumumkan SPRM telah melengkapkan siasatan terhadap IJM dan Tan tetapi tiada tindakan pendakwaan lanjut serta kes diklasifikasikan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA).

Tan dalam kenyataan menegaskan bahawa dia tidak bersalah sepanjang “derita” siasatan itu.

“Siasatan itu dan publisiti yang diberikan telah menyebabkan kerosakan reputasi saya yang teruk dan memusnahkan perkhidmatan awam dan korporat sepanjang hayat saya selain menyebabkan tekanan kepada keluarga, rakan dan organisasi yang saya berkhidmat,” katanya yang turut terhutang budi kepada isterinya, keluarga dan rakan yang menyokongnya.

Tan mungkin boleh menarik nafas lega siasatan telah ber­akhir dan NFA yang diputuskan tetapi kerosakan disebabkan dakwaan salah tadbir urus RM2.5 bilion telah berlaku dan tidak mungkin akan hilang. Publisiti meluas oleh media yang sebahagian besar berdasarkan maklumat sumber dan “keseronokan” angka besar telah merosakkan pencapaian seorang individu sepanjang kerjaya yang terbukti tidak benar.

Siasatan terhadap Tan dan IJM turut mengheret satu lagi syarikat korporat yang dibina atas usaha dan titik peluh pengasasnya.

Terdapat terlalu banyak dakwaan dibuat sebelum pembuktian tetapi kerosakan reputasi telah berlaku dan tidak mungkin dapat dipulihkan.

Di dunia ini terdapat terlalu ramai seperti Carragher yang membuat kenyataan, mereka yang tidak akan tahu apa erti pencapaian tertinggi kerana mereka tidak mungkin sampai ke peringkat itu.

Carragher menjaringkan 5 gol sepanjang 737 kali bermain untuk Liverpool. Lebih menarik, dia menjaringkan 7 gol ke gawang sendiri. Casemiro menjaringkan 9 gol pada satu musim. Untuk mereka seperti Tan dan Casemiro, tiada siapa boleh memusnahkan pencapaian yang hanya boleh dimimpikan mereka yang tidak mampu. – UTUSAN

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.