Tiada lagi belang kalau dah pupus - Utusan Malaysia

Tiada lagi belang kalau dah pupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARIMAU Tasmania kali terakhir ditangkap pada tahun 1930. Selepas itu kelibat haiwan unik yang menyerupai anjing dan berbelang di belakang seperti harimau itu tidak ditemukan lagi. Haiwan yang hanya ditemukan di benua Australia dan New Guinea itu diisytiharkan pupus.

Dalam belantara Malaysia, badak sumbu Sumatera sukar ditemukan dalam habitatnya, malah National Geographic percaya spesies badak sumbu itu mengalami nasib yang sama seperti Harimau Tasmania selepas satu-satunya yang dipulihara di pusat konservasi mati dipercayai akibat kanser.

Pada 2019 dikatakan kira-kira 80 ekor badak sumbu Sumatera yang masih mendiami hutan-hutan Indonesia manakala di Sabah, ia semakin sukar ditemukan lagi.

Begitu juga nasib Harimau Malaya, lambang Jata Negara yang turut menghiasi simbol negeri-negeri, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan semakin mengecil jumlah dalam habitatnya sehingga mengundang kebimbangan sama ada ia akan lenyap ditelan zaman.

Harimau Malaya dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 dan dikategorikan sebagai spesies terancam, malah disenarai merah sebagai haiwan kritikal.

Sekitar tahun 1950-an, dianggarkan terdapat 3,000 ekor Harimau Malaya dalam hutan negara ini, namun data WWF Malaysia menyebut jumlah haiwan karnivor itu kini tidak sampai pun 200 ekor.

Malah, lebih menakutkan kelibat harimau semakin mendekati kawasan populasi manusia.

Terbaharu, lelaki Orang Asli di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang maut dibaham harimau belang ketika mangsa sedang menoreh getah berdekatan rumahnya. Penduduk kampung juga menyatakan kebimbangan mengenai kelibat binatang itu yang didakwa masih berkeliaran.

Umumnya seekor harimau jantan memerlukan kawasan seluas 300 kilometer persegi untuk berhabitat manakala luas habitat harimau betina dianggarkan 100 kilometer persegi.

Faktor penyusutan bilangan harimau dikaitkan dengan pembangunan seperti perluasan penerokaan hutan untuk tujuan pertanian dan pemburuan haram yang turut menyebabkan sumber utama makanan harimau seperti rusa sambar dan babi hutan semakin berkurangan.

Setakat ini, penyeludupan kulit harimau dan organnya yang dikaitkan dengan perubatan kuno merupakan yang ketiga tertinggi selepas dadah dan senjata api.

Di sebalik permintaan tinggi, tiada kajian saintifik yang menemukan kelebihan pada anggota badan harimau yang dikatakan bermanfaat dalam bidang perubatan, melainkan pemburuannya hanya untuk tujuan komersial semata-mata.
Justeru, tindakan cepat kerajaan dan agensi terlibat dalam menggariskan tindakan strategik bagi Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun adalah langkah tepat dalam memastikan ikonik

negara itu tidak hilang selama-lamanya.

Melalui enam pendekatan yang dirancang, strategi meliputi usaha menyelamatkan haiwan tersebut dan pada masa yang sama merancang kawasan habitat agar tidak mengganggu dan mengancam nyawa manusia.

Kelangsungan hidup Harimau Malaya bukan sahaja dilihat dari sudut estetika semata-mata, tetapi keseimbangan ekosistem hutan dan rantaian kehidupan di sekelilingnya.

Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.