Teruskan tekad berprinsip, harga diri

Teruskan tekad berprinsip, harga diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JANGAN sesekali alpa selepas kerajaan perpaduan melepasi setahun pentadbiran.

Apa lagi kalau individu terbabit berprofil tinggi, orang besar dan pegawai tinggi kerajaan termasuklah para menteri. Setiap aksi, dengan latar belakang kiri kanan atas bawah gambar pasti diamati rapi, dipantau dan dirakam.

Pantang silap sikit, habis ‘dibalun’ dalam laman sosial. Macam-macam gelaran dan julukan diberi – yang bikin kita tertawa dan tersenyum bila sendirian. Habis terpalit semua, bukan setakat si empunya badan. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Akhir­nya diterjemahkan di kertas undi pilihan raya.

Benarlah kata-kata bijaksana merumuskan – hidup berpolitik atau berjawatan tinggi semacam tinggal dalam rumah kaca. Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang tidak harus dibuat. Kerana nanti orang akan nampak, sekali gus mudah bertindak balas. Lalu dikatakan penghuni rumah kaca jangan buang batu. Nanti apabila orang baling batu, rumah pecah dan musnah. Sayangnya tidak semua ahli politik, yang berprofil tinggi dan orang kerajaan berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa. Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai. Keaiban meletus pada saat tidak disangka-sangka.

Kesilapan yang dilakukan dalam politik besar risikonya. Seseorang yang memegang jawatan tinggi perlu cermat dalam serba-serbi tindakan. Termasuklah kenyataan kepada media atau pandangan masyarakat seluruhnya kepada perwatakan dan dirinya.

Setelah anda menjadi type-cast, persepsi itu terus berkembang dan amat susah untuk dihapuskan. Beberapa pemimpin kita dalam politik mengalami slings and arrows of outrageous fortune, mungkin seperti dikatakan oleh Hamlet yang jelas dan tepat, To be or not to be? – that is the question – itu persoalannya”.

Apabila ditimpa musibah politik, akibatnya amat teruk seolah-olah membenarkan pepatah – apabila hujan, ia mencurah. Kritikan dalam mesej WhatsApp atau Facebook terhadap mereka yang berprofil tinggi ini pasti membawa nahas.

Hari ini rakyat agresif pasang mata dan telinga. Tumpuan satu sahaja – kepada siapa hendak mengadu nasib dan bergantung harap. Mereka tidak lagi gusar melihat dasar pecah dan perintah (divide and rule) yang terus membarah dalam kalangan orang politik Melayu.

Itu mereka tidak ambil peduli lagi. Tetapi yang diperlukan adalah penyelesaian segera kepada permasalahan yang menghimpit kehidupan seharian rakyat. Mereka meluat melihat pemimpin Melayu Islam masih bercakaran sesama sendiri. Mengejar glamour, pangkat dan ghanimah. Makin lama makin melemahkan kuasa politik orang Melayu Islam. Dan memungkinkan terjadinya minoriti menguasai majoriti.

Kepada yang berprofil tinggi, tidak kira dalam kerajaan atau keluarga sekali pun (ketua keluarga), harus ambil iktibar dan pedoman untuk tekad bermaruah dan ada harga diri.

Bila berjalan jangan sentiasa mendongak ke langit. Pandanglah sesekali ke bawah supaya tidak terantuk kaki terkena akar kayu yang melintang. Bila sudah sampai ke seberang, jangan lupa pangkalan tempat mula berkayuh.

Mengamati dan menginsafi dari episod-episod cacamarba politik Melayu yang getir serta insiden ‘pelik luar biasa’ kebelakangan ini sebagai salah seorang daripada 32 juta rakyat, sesekali teringat dialog filem Tiga Abdul arahan Allahyarham P. Ramlee:

“Kamu kan tahu dia tu penipu! Muka dia pun muka penipu! Yang kamu berdua bijak pandai boleh kena tipu dengan dia tu kenapa? Kamu berdua yang bodoh!”. – UTUSAN