Terima, hormati keputusan mahkamah - Utusan Malaysia

Terima, hormati keputusan mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN (Jumaat) dua keputusan mahkamah dilihat ‘memihak’ kepada pemimpin UMNO. Yang pertama adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah.

Yang kedua Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pula dilepas tanpa dibebaskan daripada kes ra­suahnya.

Ketika para penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri itu melaungkan Allahuakbar di dalam kamar mahkamah sebaik sahaja Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd. Yazid Mustafa membaca keputusan, di luar terutama di media sosial ia disambut dengan pandangan yang bercampur baur.

Ada yang menyokong, tetapi ramai juga skeptikal dan sinis dengan keputusan mahkamah tersebut.
Apa pun keputusan hakim dalam kedua-dua kes ini adalah jelas. Ia dibuat selepas setiap fakta yang dikemukakan terutama oleh saksi diteliti secara rapi. Keputusan itu dibuat atas prinsip keadilan untuk semua dan bukannya untuk memuaskan hati mana-mana pihak.

Dalam penghakimannya, Mohd. Yazid menegaskan beliau mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan komen luar sejak hari pertama mengendalikan kes itu.

Malah beliau sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk berhati-hati di dalam membuat keputusan itu setelah meneliti ke­seluruhan bukti dan hujahan kerana kewajipannya adalah untuk menegakkan keadilan.

Kita sebagai rakyat perlu rasional dan tidak membuat tuduhan yang bukan-bukan hanya kerana keputusan mahkamah tidak seperti apa yang kita mahukan. Mahkamah tidak membuat keputusan berdasarkan persepsi atau pandangan awam.

Tetapi berdasarkan kepada fakta, bukti dan keterangan saksi.
Jika semua yang dibentangkan itu ada keraguan maka pihak mahkamah perlu membuat keputusan yang adil selari dengan prinsip keempat Rukun Negara iaitu kedaulatan undang-undang.

Apabila bercakap soal kedaulatan undang-undang ia tidak boleh memihak kepada sesiapa atau mengikut kehendak atau kecenderungan orang tertentu. Jika ini berlaku maka prinsip kedaulatan itu telah dicabul dan akan memporak-perandakan sistem keadilan dan kehakiman negara ini.

Sebab itu semua pihak perlu akur dengan keputusan mahkamah Jumaat lalu yang memihak kepada kedua-dua pe­mimpin UMNO tersebut. Apabila mahkamah membuat keputusan yang mungkin tidak selari dengan pendirian dan kecende­rungan kita, jangan lah menuduh mahkamah tidak adil.

Mahkamah mempunyai proses dan prosedur mereka sendiri. Hakim tidak membuat keputusan berdasarkan kepada apa yang diperkatakan atau yang trending di media sosial. Terima keputusan ini dengan fikiran terbuka sebagai tanda penghormatan kepada undang-undang mahupun sistem kehakiman negara.

Adalah tidak adil jika kita hanya menyokong dan menghormati keputusan mahkamah jika ia memihak kepada pihak yang disokong, tetapi jika sebaliknya ia dituduh tidak adil.

Rakyat perlu mengangkat martabat sistem kehakiman dan mahkamah dengan menghormati setiap keputusan.

Tetapi ini tidak bermakna kes Ahmad Zahid ini hanya akan berakhir di sini kerana pasukan pendakwa masih boleh merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu.

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya