Tengok-tengok juga nilai ringgit - Utusan Malaysia

Tengok-tengok juga nilai ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita menyambut baik jaminan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pelabur global yang berhasrat memasuki Malaysia bahawa negara ini sedang melaksanakan pembaharuan sewajarnya dan mewujudkan persekitaran perniagaan lebih baik untuk mereka, semalam.

Dalam ucaptama di New York itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sedang berusaha sedaya upaya membetulkan kesilapan lalu yang menyebabkan kemajuan dan pembangunan sosioekonomi Malaysia terjejas selepas meraih kemajuan berdekad-dekad lamanya.

Tiga keutamaan yang digariskan beliau dalam ucapan bertajuk ‘Mengembalikan Penerajuan Malaysia di Asia’ itu adalah memperkukuh tadbir urus negara, menstruktur semula ekonomi dan membuka jalan bagi masa depan negara.

Sememangnya usaha menarik pelabur asing penting dalam memacu ekonomi negara termasuk menyediakan pe­luang-peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Melalui dasar-dasar ekonomi yang mesra pelabur, Malaysia diyakini akan menjadi antara destinasi utama mereka sementelah kita mampu menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran di samping kadar upah yang kompetitif.

Dalam masa sama, sejak beberapa bulan lepas, Malaysia menyaksikan impak awal daripada komitmen kerajaan untuk menyampaikan perubahan kepada ekonomi dan rak­yatnya.

Antaranya, syarikat semikonduktor global berpangkalan di Jerman, Infineon Technologies bersetuju buat pelaburan tambahan €5 bilion (AS$5.4 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang membabitkan pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200mm terbesar dunia di Malaysia.

Puluhan ribu peluang pekerjaan mahir juga bakal diwujudkan melalui kerjasama dengan jutawan dan usahawan teknologi dari Amerika Syarikat (AS), Elon Musk sebagaimana diumumkan Julai lalu.

Kerjasama dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX yang juga CEO Tesla Inc itu, antara lain bakal merancakkan lagi sektor kenderaan elektrik (EV).

Ini tidak termasuk syarikat automotif China, Geely menya­takan komitmen melabur tambahan sebanyak AS$10 bilion (RM45.3 bilion) di Malaysia. Pelaburan tambahan itu sebagai komitmen Geely untuk terus membangunkan Tanjung Malim, Perak sebagai kota automobil terbesar di rantau ini.

Dalam kita menaruh keyakinan terhadap usaha-usaha kerajaan bagi memulihkan ekonomi negara, tengok-tengokkan juga nilai mata wang ringgit yang makin susut berban­ding dolar Amerika (AS).

Isu kejatuhan nilai ringgit sudah bermula sejak 2022 apabila nilai ringgit pernah susut sehingga RM4.75 berbanding dolar. Semalam, nilai ringgit adalah pada RM4.68. Penganalisis meramalkan ia bakal mencecah ke paras paling rendah iaitu RM4.80 akhir tahun ini.

Mata wang kita bukan sahaja susut berbanding dolar AS, dengan bhat pun turut jatuh. Kalau dulu bila ringgit jatuh berbanding AS, boleh juga membeli barang di Thailand. Tapi kini, baht makin tinggi. Nilai tukaran ringgit kini susut kepada 7.68 baht semalam. Pada Oktober 2021, tukaran dengan baht adalah 8.12.

Dengan tukaran semasa ringgit berbanding baht, para penyeludup beras Siam pun mahu ‘berehat’ buat sementara kerana kegiatan mereka tidak lagi beri pulangan lumayan.

 

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia