Tekanan untuk naikkan harga? - Utusan Malaysia

Tekanan untuk naikkan harga?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM, Utusan Malaysia melaporkan mengenai bekalan ayam dijangka tidak mencukupi menjelang Ramadan pada Mac ini sehingga ke Hari Raya Aidilfitri. Sepanjang tempoh itu, permintaan dijangka meningkat sehingga 100 peratus.
Peningkatan itu tidaklah mengejutkan kerana menu ayam memang menjadi kegemaran semasa Ramadan dan Aidilfitri.
Yang dirisaukan ialah amaran itu diberikan oleh penternak. Kata mereka, 4.4 juta ekor ayam diperlukan sehari untuk memenuhi permintaan sepanjang tempoh itu. Namun, penternak mendakwa mereka mungkin tidak mampu memenuhi permintaan itu.
Antara alasan yang diberikan ialah harga anak ayam sehari (DOC) yang meningkat, kos dedak yang sudah lama melambung dan juga kerenah birokrasi untuk membawa masuk pekerja asing.
Kata mereka, kos operasi yang meningkat tanpa kenaikan pada harga ayam di pasaran mungkin akan memaksa mereka ‘berehat’ kerana tidak mampu menanggung kos untuk membesarkan operasi bagi menambah bekalan.
Mengikut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, ayam pe­daging biasanya matang dalam tempoh 28 hari dengan berat 1.8 kilogram. Untuk saiz yang lebih besar, ada yang menyembelih ayam pada usia 35 hingga 40 hari. Dalam setahun, satu ladang ayam boleh membuat enam pusi­ngan ternakan.
Ini bermakna masih ada masa untuk memastikan masalah kekurangan ayam menjelang hujung Mac ini tidak berlaku. Ramadan akan bermula 23 Mac. Kita ada masa lebih kurang tujuh minggu.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu menggunakan waktu yang terhad ini untuk merangka strategi.
Lihatlah apa yang dirungutkan oleh penternak dan bantulah atasi masalah itu. Jadilah kerajaan yang mesra industri. Jangan tergopoh-gopoh untuk mengimport. Kalau isu harga DOC dan dedak menjadi punca, mungkin subsidi boleh disalurkan di peringkat itu.
Kalau isu pekerja asing jadi isu, permudahkanlah. Dengan itu, penternak tiada alasan untuk ‘berehat’ atau mengecilkan operasi mereka.
Lihat juga apa yang sudah kerajaaan lakukan selama ini. Sudah banyak yang kerajaan bantu terhadap golo­ngan penternak ini tetapi masalah tidak juga selesai. Di mana silapnya? Adakah penternak sengaja menimbulkan isu untuk menekan kerajaan supaya menaikkan harga ayam. Mungkin kita perlukan strategi baharu.
Namun, perkara paling penting ialah harga ayam harus kekal berpatutan untuk semua rakyat dan bekalan tidak menjadi masalah atau kerajaan perlu berdepan kemarahan rakyat. Sekarang pun rakyat asyik perli kerajaan sahaja kerana gagal turunkan harga ayam.
Isu ini sudah berlarutan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pada 2020. Entah bila akan berakhir. Langkah terakhir, raya tahun ini kita tukar menu.

Ismail Daud ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia