Tangani isu perumahan, ekonomi kawasan Felda

Tangani isu perumahan, ekonomi kawasan Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu kekurangan tenaga kerja terutama anak-anak tempatan di kawasan Felda seluruh negara bukan perkara baru. Ini menyebabkan wujudnya pergantungan kepada buruh asing sebagai tenaga kerja bagi menampung kelompongan yang berlaku.

Pendedahan Utusan Malaysia hari ini tentang 1.6 juta daripada 2.1 juta generasi baharu Felda berhijrah meninggalkan tanah rancangan tersebut mesti diberi perhatian dan diambil tindakan segera. Punca utama adalah Isu perumahan, tiada peluang ekonomi dan aspek kemudahan

Ini menyebabkan Felda yang ditubuhkan pada 1 Julai 1956 terpaksa mencari tenaga kerja asing bagi menguruskan ladang kerana ketiadaan anak-anak muda bagi mengusahakan kelapa sawit dan getah.

Pada masa ini terdapat kira-kira 440,000 generasi baharu yang masih menetap dan bekerja di ladang walaupun masalah tersebut menghimpit warga Felda itu sejak sekian lama di 317 tanah rancangan di seluruh negara hampir 10 tahun lalu.

Sebelum ini pun, walaupun bergantung kepada tenaga buruh asing, sektor perladangan kelapa sawit menghadapi masalah buruh kritikal di seluruh negara dengan kekurangan hampir 200,000 pekerja tahun lalu.

Ironinya, hampir 80 peratus kawasan Felda seluruh negara tidak ada perumahan generasi kedua menyebabkan mereka perlu pindah ke kawasan lain.

Untuk itu, Felda disaran mewujudkan pelan pembangunan generasi baharu peneroka untuk menarik mereka terus tinggal di tanah rancangan dengan menawarkan kemudahan seperti pembinaan rumah generasi kedua.

Di Pengarang, Johor, misalnya, kewujudan Projek Rapid berhampiran kawasan Felda telah membantu dan menawarkan peluang pekerjaan kepada anak peneroka. Mereka tidak perlu pindah ke bandar, boleh terus tinggal di Felda.

Peluang-peluang ekonomi seperti penternak muda baik ternakan lembu atau ayam juga mesti diwujudkan agar generasi baharu peneroka dapat terus kekal bekerja dan kekal  di Felda.

Tidak dinafikan ramai anak-anak Felda yang berpendidikan tinggi dalam pelbagai bidang dan mereka ini jika dibantu dan dibimbing bukan sahaja boleh berjaya sebagai petani tetapi juga usahawan. Seterusnya mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain.

Dalam masa sama,  generasi baharu Felda tidak boleh mengharapkan semata-mata kerajaan meningkatkan kemudahan dan pembinaan rumah.

Sebaliknya, mereka juga perlu mewujudkan satu pasukan khas untuk membawa jalan keluar perkara tersebut. Mereka perlu merancang bagi merintis segala usaha itu manakala kerajaan pula berperanan memudahkan urusan pengambilan tanah.

Dengan usaha dan ikhtiar, kita yakin generasi baharu peneroka bukan sahaja boleh memastikan kesinambungan Felda tetapi juga meneruskan kecemerlangan tanah rancangan itu dalam membekalkan komoditi eksport utama negara.

Ini kerana eksport minyak dan produk-produk berasaskan minyak sawit Malaysia, menokok 55.2 peratus kepada RM67.48 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2022, daripada RM43.47 ­bilion tempoh sama 2021.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 66.1 peratus adalah hasil eksport daripada minyak sawit, berjumlah RM44.63 bilion berbanding hanya RM28.8 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya. – UTUSAN

  • MOHD. RADZI MOHD. ZIN ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia