Tanah runtuh perlu ada semak imbang

Tanah runtuh perlu ada semak imbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA kebanyakan peminat bola sepak menantikan perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022, Ahad ini yang akan menyebabkan berbilion penduduk bumi berjaga sehingga larut malam, seluruh negara ini pula digemparkan dengan tragedi tanah runtuh yang setakat pukul 6 petang semalam meragut 22 nyawa manakala 11 lagi masih hilang dalam kejadian di Batang Kali, Hulu Selangor.

Difahamkan, mereka dalam kalangan guru sekolah yang dikatakan mengadakan aktiviti perkhemahan di situ sempena cuti persekolahan hujung tahun.

Kejadian tanah runtuh di negara ini bukan baharu. Sepanjang tahun lalu sehingga 10 Mac 2022 dianggar sebanyak 21 tanah runtuh dilaporkan. Kali terakhir, lima mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 Ampang membabitkan 15 rumah dan 10 kenderaan.

Pada 3 Januari 2021, seramai 14 peniaga gerai di Kampung Geliga, Hulu Chukai, Kemaman, Terengganu diarahkan menghentikan operasi selepas berlaku kejadian tanah runtuh di belakang deretan premis perniagaan mereka.

Sehari kemudian, seorang pekerja kebun sayur warga Bangladesh hilang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing, Kelantan. Tujuh kejadian tanah runtuh dilaporkan sepanjang Januari 2021.

Selepas 28 hari kejadian tanah runtuh dilaporkan pada 20 Januari 2021, Malaysia sekali lagi menerima berita menyedihkan apabila sebanyak lapan rumah dan sebuah premis perniagaan musnah dalam runtuhan tebing sungai dekat Dataran Air Muleh, Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, Kelantan membabitkan 97 penduduk walaupun tiada kematian.

Sesungguhnya tiada sesiapa pun boleh melawan takdir. Namun, di sebalik kejadian itu banyawanyak persoalan yang bermain. Mengadakan aktiviti perkhemahan ketika musim tengkujuh sebenarnya tidak wajar kerana selain tanah runtuh, kawasan seperti hutan rekreasi juga terdedah kepada risiko kemalangan apabila berlakunya banjir dan paling ditakuti kepala air.

Tragedi di Gunung Inas di Kedah akibat kepala air sudah cukup menggambarkan betapa ngerinya keadaan ketika kejadian. Bagaimana pula permit yang membolehkan pengusaha menyediakan tempat untuk aktiviti perkhemahan. Berapa ramaikah yang memiliki permit sah dan berapa kali agensi yang bertanggungjawab mengadakan pemeriksaan berkala?

Begitu juga aktiviti kerja-kerja tanah di kawasan tanah tinggi sentiasa memerlukan pemantauan pihak berkuasa walaupun kawasan tersebut milik persendirian.

Apakah pula fungsi agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memberi amaran awal kepada orang ramai tentang bahaya mengadakan aktiviti beriadah di sesuatu kawasan terutama semasa musim tengkujuh. Tragedi boleh dielak jika semua memainkan peranan.

Orang ramai juga perlu mempunyai kesedaran dan keing­inan untuk mengetahui perubahan iklim dan geografi di negara ini. Malaysia mempunyai Jabatan Meteorologi yang setiap hari mengemas kini ramalan cuaca.

Pentingnya orang ramai untuk sentiasa menyemak status terkini sebelum merancang percutian atau aktiviti ter­utamanya ketika negara sedang melalui fasa musim tengkujuh yang berterusan sehingga Mac tahun depan.

Takziah kepada keluarga mangsa. – UTUSAN

  • Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya