Taman Negara atasi konflik manusia, binatang liar

Taman Negara atasi konflik manusia, binatang liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini tular dalam media sosial seekor harimau belang di tepi Plaza Tol Dungun. Video itu mengundang kebimbangan terutama pengguna lebuh raya.

Kelibat binatang liar itu dirakam pengguna yang kebetulan melalui kawasan tersebut. Setakat ini belum ada pihak mengesahkan rakaman itu tulen atau disunting.

Yang pasti, konflik manusia dan haiwan liar membimbangkan. Dilaporkan sebanyak 42 kematian dan 1,315 kece­deraan dicatatkan daripada keseluruhan 1,356 kes berpunca daripada konflik antara manusia dan haiwan liar sejak 2017 hingga Julai lalu.

Ironinya konflik ini bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia. Keadaan ini berlaku apabila habitat diganggu dan rimba yang menjadi asas kehidupan binatang liar barang kali kehabisan sumber makanan.

Hakikatnya, konflik manusia dan haiwan tiada tanda noktah selagi berlaku penerokaan hutan.

Sejak 2012, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima 38,236 aduan berkaitan gangguan hidupan liar dengan nilai kerugian cecah lebih RM16 juta.

Dalam satu dapatan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas antarabangsa, dianggarkan dunia kehilangan 10 juta hektar kawasan hutan setiap tahun berpunca daripada penerokaan untuk tujuan pembangunan pertanian dan pembalakan.

Kehilangan kawasan hijau yang menjadi nadi bekalan oksigen turut disumbang kegiatan pembalakan haram, malah aktiviti penerokaan hutan secara tidak terkawal menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak dijangka.

Antaranya perubahan iklim yang melampau. Paling ditakuti belantara yang menjadi habitat segala jenis spesies termasuk binatang terancam, sehingga mendorong berlaku pola penghijrahan haiwan ke penempatan manusia. Di sinilah berlakunya konflik.

Justeru, satu kajian khusus perlu bukan sahaja membincangkan soal keselamatan manusia terutama yang tinggal di pedalaman, tetapi juga memastikan kelangsungan hidup habitat liar dalam negara ini khususnya spesies yang terancam untuk pupus.

Hakikatnya, kemajuan dan keperluan kehidupan manusia menjadi keutamaan, justeru satu pelan khusus perlu dalam memastikan konflik berakhir walaupun kedua-dua­nya menghuni bumi yang sama.

Pihak berkuasa perlu memikirkan untuk mengadakan rizab simpanan baharu seperti taman negara sebagai jalan penyelesaian kepada isu ini. Rizab ini bukan untuk tujuan pelancongan sebaliknya, memastikan kelestarian penghuni rimba tidak diganggu.

Walaupun keluasan hutan di Malaysia tidak seluas se­perti Taman Negara Kenya, namun perancangan yang teliti dalam mengatasi konflik yang sudah sekian lama mengancam penduduk luar bandar perlu diberikan perhatian sewajarnya. – UTUSAN

  • Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.