Tak apalah untung sikit tapi berkat

Tak apalah untung sikit tapi berkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH peniaga warung di Perlis, Zulkifli Ismail yang mampu menjana keuntungan walaupun menjual semua jenis makanan serendah RM2 dan minuman RM1 sangat mengujakan.

Pengusaha Warung D’ Bendang Senja dekat Kampung Sungai Padang itu meraih keuntungan dari RM2,000 ke RM3,000 sehari khususnya pada cuti hujung minggu. Lauk pauknya pelbagai seperti menu ayam, nasi daging, laksa, pulut ayam, pulut mempelam dan bihun sup.

Pendapatan Zulkifli membuktikan menjual makanan pada harga rendah tidak merugikan, sebaliknya akan meningkatkan kuantiti jualan yang akhirnya menjana keuntungan.

Jika ada peniaga yang mengatakan menurunkan harga akan menyebabkan kerugian, ia seolah-olah ‘menipu’ pelanggan. Peniaga yang menjual makanan pada harga mahal sebenarnya tamak dan mahu mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Mereka memberi pelbagai alasan untuk ‘menghalalkan’ cara..

Justeru, tindakan memperkenalkan Menu Rahmah yang menawarkan harga bawah RM5 adalah tepat. Ia secara tidak langsung mendesak pasaran dan memaksa peniaga lain me­nurunkan harga.

Jika enggan maka tanggunglah kerugiannya.

Memang pelik apabila ada peniaga yang sanggup mengenakan harga tinggi sehingga RM10 bagi sebungkus nasi, seekor ikan goreng dan sesudu sayur sedangkan mereka hanya berniaga di kaki lima dan tidak dikenakan bayaran sewa tapak.

Dalam keadaan ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya dan sikap peniaga yang menaikkan harga sangat tidak rasional bagi rakyat yang berdepan kesempitan hidup akibat kenaikan kos barang keperluan terutamanya bagi golongan berpendapatan B40 dan M40.

Jika sebelum ini dengan RM50 anda boleh memenuhi bakul di pusat beli-belah dengan pelbagai barangan keperluan dapur, kini nilai tersebut hanya untuk membeli sebotol cecair membasuh pakaian, dua paket pelembut fabrik dan sebotol syampu rambut sahaja.

Islam mengajar penganutnya untuk berlaku jujur tanpa menipu. Banyak surah dalam al-Quran dan hadis yang menerangkan konsep berniaga. Walaupun perniagaan adalah salah satu cabang kekayaan, namun syariat telah menetapkan beberapa perkara yang perlu dipatuhi.

Antaranya perbuatan memonopoli barangan keperluan awam dilarang dalam Islam. Monopoli (ihtikar) barangan ke­perluan seperti gula, beras dan minyak biasanya dibuat agar barangan itu berkurangan di pasaran dan hasilnya harganya dapat dinaikkan dan dijual mahal.

Cara itu membolehkan peniaga mendapat keuntungan berlipat kali ganda, sedangkan perbuatan terkutuk itu dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudaratan dan kesulitan dalam kalangan masyarakat terutamanya bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda: Dari Ma’mar bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa memonopoli barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan. Yakni ia telah tersasar jauh dari perkara sebenar dan keadilan.

Menurut Ibn Taimiah dan muridnya Ibn Qayyim, antara bentuk monopoli yang diharamkan juga boleh berlaku dengan cara peniaga-peniaga berpakat antara satu sama lain bagi menjual barangan dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

Kalau harga murah boleh menjana keuntungan, kenapa perlu jual mahal? – UTUSAN

  • Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya