Sultan mengimbangi kesombongan politik

Sultan mengimbangi kesombongan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak seminggu dua ini, ada dua tiga orang ahli politik tampil mengkritik institusi diraja terutama Sultan Selangor secara terbuka.

Memang negara kita mengamalkan demokrasi raja berperlembagaan tetapi itu bukan bermakna sultan sekadar simbol yang tidak membawa apa-apa makna selain yang berkaitan dengan Islam.

Walaupun negara ditadbir oleh kuasa politik yang dipilih secara demokrasi melalui pilihan raya tetapi institusi diraja wujud sebagai pengimbang jika berlaku sesuatu yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Adakah raja-raja kita menggunakan kuasa secara sembrono dan demi kepentingan mereka? Sudah tentu tidak.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) membuktikan kepada kita bagaimana institusi ini memainkan peranan memelihara kepentingan rakyat.

Jelas di depan mata kita bagaimana campur tangan istana membantu menyelesaikan pertikaian politik dan pelantikan pemimpin yang jika dibiarkan akan memudaratkan rakyat.

Institusi diraja tidak pernah campur tangan dalam pentadbiran. Tetapi mereka hanya menegur supaya apa sahaja yang mahu dirancang dan dilaksanakan tidak menjejaslan kehidupan rakyat.

Apabila Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya tidak ada ladang babi di Selangor, ia untuk kepentingan siapa? Adakah terdapat penduduk Selangor sama ada yang Islam atau bukan Islam rela hidup berjiran dengan kandang babi? Rela kandang babi dibina di sebelah rumah mereka? Jadi, adakah titah Sultan itu salah? Ia semata-mata untuk kepen­tingan umum.

Begitu juga kepada bermacam-macam krisis politik yang berlaku pada era selepas PRU14. Bayangkan jika tidak ada institusi istana untuk meredakan suhu politik yang mengge­legak, apa akan jadi kepada rakyat? Apabila para pemimpin politik lebih cenderung membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan mereka maka istana tampil untuk mengmbangi keadaan.

Dan ketika kewujudan pemimpin politik yang bongkak dan sombong yang merasakan merekalah yang terpaling demokrasi dan terpaling dipilih oleh rakyat maka kehadiran institusi istanalah yang dapat mengimbanginya.

Tanpa teguran daripada pihak istana rasanya pemimpin ini akan kekal dengan ego dan kesombongan tanpa mempedulikan sensitiviti majoriti yang lain. Sistem raja berperlembagaan bermakna demokrasi dijunjung dan raja-raja tetap di­sanjung. Institusi istana tidak campur tangan dalam sesuatu isu tanpa ada asas yang sahih.

Sejak kita merdeka, mereka adalah pengimbang andai sesuatu isu itu gagal diselesai menggunakan kuasa politik. Apa juga krisis yang berlaku di negara ini terutama yang berkaitan dengan kaum dan ketegangan politik selesai me­lalui nasihat istana.

Raja-raja Melayu tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri dan negara sekiranya ia di landasan yang betul. Mereka tidak akan campur tangan andainya kepentingan umum rakyat tidak terjejas dan kuasa politik mampu menangani­nya.

Tetapi apabila muncul juak-juak politik yang besar kepala dan menggunakan alasan demokrasi untuk menghalalkan perbuatan mereka yang menjejaskan kepentingan rakyat majoriti, maka teguran daripada istana adalah wajar. Kuasa sultan perlu untuk mengimbangi kesombongan politik seperti ini dan ia wajar dipatuhi.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia