Sudah terantuk baru nak tengadah

Sudah terantuk baru nak tengadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nampaknya budaya sudah terantuk baru tengadah te­rus berakar umbi dalam sistem masyarakat kita. Setelah berlaku tragedi, puluhan nyawa hilang dan ramai menjadi yatim piatu dan sebagainya, maka kita pun kalut mencari siapa salah dan kenapa ia berlaku.

Walaupun ada pemantauan, tetapi tidak ada tindakan. Bila sudah berlaku tragedi maka datanglah kenyataan bahawa kawasan itu berisiko. Keluar kenyataan bahawa kem perkhemahan tersebut beroperasi tanpa lesen.

Andainya tiada tragedi, tidak ada nyawa terkorban agaknya selama-lamanya kawasan itu beroperasi tanpa lesen.

Adakah pihak berkuasa tempatan tidak sedar wujud­nya kawasan perkhemahan komersial tanpa lesen seluas itu di kawasan tersebut?

Atau memang mereka sedar tetapi mengambil sikap tutup sebelah mata kerana ada yang mendapat manfaat sampingan?

Rasanya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu siasat bagaimana tapak khemah ko­mersial itu boleh beroperasi tanpa lesen hingga menjejaskan nyawa orang awam. Ini bukan perkara kecil.

Satu lagi yang kita hairan, bagaimana mereka boleh dibiarkan beroperasi di kawasan yang risiko tanah runtuh?

Kita rasa musykil sebab amaran kawasan berisiko ini selalu dibangkitkan oleh media. Ada beratus-ratus kawasan yang telah dikenal pasti berisiko. Tapi nampaknya kita tidak ambil kisah mengenainya.

Bila ada terkorban maka ramailah yang kelam kabut keluarkan kenyataan itu ini. Tapi selepas itu senyap. Tunggu orang lain pula jadi mangsa baru hendak bertindak semula. Semuanya hangat-hangat tahi ayam.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pernah mengeluarkan kenyataan mereka telah mengenal pasti beberapa kawasan ‘hotspot’ (kawasan panas) berisiko berlakunya tanah runtuh jika hujan lebat.

JMG ada sebut ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) seperti sekarang risiko tanah runtuh amat tinggi di kawasan berbukit tinggi, kawasan penempatan dan laluan bercerun.

Malah ancaman tanah runtuh juga boleh berlaku jika sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik terma­suk di cerun-cerub buatan. Begitu juga dengan kawasan yang pernah mengalami tanah runtuh.

Secara teorinya pelbagai agensi yang bertanggungjawab tahu akan risiko kejadian seperti ini. Lagi pula, kita di Malaysia sudah kerap sangat mengalaminya dan ribuan nyawa sudah menjadi mangsa.

Tapi kita jarang mengambil kisah akan hal ini hinggalah ada nyawa seterusnya menjadi korban. Percayalah, kisah tragis maut ditimbus tanah runtuh ini tidak akan berakhir selagi kita bersikap sudah terantuk baru tengadah dan hanya hangat-hangat tahi ayam dalam mengambil tindakan.

Dalam kes di Batang Kali ini, perlu ada pihak yang bertanggungjawab yang perlu diheret ke muka pengadilan kerana cuai hingga mengorbankan nyawa. –UTUSAN

  • Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.