SOP sekolah, PdPR dan DidikTV... - Utusan Malaysia

SOP sekolah, PdPR dan DidikTV…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI ibu bapa masih ‘terkejut’ apabila kerajaan mengumumkan pembukaan semula persekolahan secara bersemuka mulai 1 Mac ini. Ada yang bersetuju, malah ada juga membantah.

Pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan itu bermakna lebih lima juta murid dan pelajar akan kembali semula ke sekolah secara berperingkat buat kali pertama pada tahun ini mulai 1 Mac, selepas lebih sebulan pelaksanaan pembelajaran secara digital dari rumah.

Kumpulan pertama kehadiran pembelajaran secara bersemuka melibatkan kira-kira 1.2 juta murid prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2.

Ia diikuti Tahun 3 hingga 6 pada 8 Mac dan Tingkatan 1 hingga 6 memulakan sesi persekolahan mulai 4 dan 5 April selepas tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berakhir.

Ketika ramai murid dan pelajar bersorak riang akan kembali menemui rakan-rakan dan guru, menghapuskan kerinduan suasana bilik darjah, ada dalam kalangan ibu bapa yang bangkit mempersoalkan keputusan ini. Bagaimana dengan SOP, apa nasib pembelajaran digital?

Setelah ibu bapa ‘bergolok-bergadai’ membeli gajet untuk anak-anak untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR), sementelah pentadbir sekolah bertungkus lumus menyusun jadual yang berubah setiap minggu demi memenuhi tuntutan murid dan guru, kemunculan DidikTV – akhirnya semuanya ‘tertanya-tanya’ apakah episod pengakhirannya.

Banyak persoalan dilontarkan oleh ibu bapa yang perlu diberi pencerahan oleh Kementerian Pendidikan. Apakah hala tuju PdPR 2.0 selepas ini dan rasional DidikTV. Apakah keputusan terbaharu yang diambil ini tepat pada masanya dan tidak akan diubah lagi selepas ini?

Dalam hal ini, ibu bapa perlu bersikap positif. Kaedah PdPR dan peranan DidikTV perlu berfungsi secara berkesan. Keberkesanannya perlu diaudit dan berperanan sebagai nilai tambah pembelajaran dan rujukan yang efektif. Kalau tidak, ia hanya dilihat suatu pembaziran.

Apa yang berlaku di negara ini, pernah didebat di Amerika dan beberapa negara Eropah. Ketika ada suara yang membantah, ada ibu bapa dan warga pendidik berpendapat sebaliknya.

Bagi mereka kewajipan hadir ke sekolah adalah penting, dan memilih belajar jarak jauh dalam dunia digital bukanlah satu pilihan yang terbaik untuk satu tempoh yang panjang.

Saat Perdana Menteri Ireland, Michael Martin mengumumkan sekolah di negara itu perlu dibuka ketika sektor lainnya ditutup, beliau memberikan alasan perihal pentingnya masa depan generasi muda dengan pendidikan. Masa depan mereka tidak boleh dijadikan ‘korban’.

Apa jua senarionya, keselamatan perlu diutamakan.

Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia