Sistem bank tergendala: Tidak perlu minta maaf, ajar bersabar

Sistem bank tergendala: Tak perlu minta maaf atau ajar bersabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CIMB Group Holdings Berhad pada tahun lalu mengumumkan keuntungan bertambah kepada RM6.98 bilion berban­ding tahun 2022 iaitu RM5.44 bilion. Maybank pula sebanyak RM9.35 bilion berbanding RM7.6 bilion pada 2022. Beginilah acara tahunan institusi perbankan bagai berlumba-lumba menunjukkan keuntungan masing-masing.

Antara yang membolehkan bank-bank untung mewah ialah menerusi simpanan rakyat yang membuka akaun dan membuat pelbagai jenis pinjaman. Ingat buka akaun bank, rakyatkah lebih untung? Tidak yang untung besar bank-bank. Lagi banyak anda simpan atau pinjam lagi bagus buat bank. Begitu juga jika peminjam liat bayar hutang, lagi bank boleh buat duit. Kenapa sebab bank boleh caj sana sini.

Aktiviti mengeluarkan duit di mesin ATM berlainan bank juga menjana duit apabila institusi itu mengenakan caj RM1 bagi sekali keluaran. Tidak kira mengeluarkan RM10 hingga RM1,000 anda tetap kena caj RM1. Jika pengeluaran RM1,010 anda akan dicaj RM2.

Malah anda juga kerap terkena setiap kali kad bank rosak atau hilang untuk mengantikan kad baharu kebanyakan bank tidak beri percuma sebaliknya kena bayar RM12 untuk satu kad gantian. Itulah antara beberapa cara daripada banyak cara bank buat duit sehingga setiap tahun keuntungan bukan lagi jutaan tapi berbilion.

Bagi pelanggan yang bercita-cita mahu mendapat untung lebih dengan membuat simpanan menerusi pelbagai skim termasuk simpanan tetap, kadar faedah ditawarkan lazimnya cuma sekitar tiga peratus. Jika mahu lebih tinggi macam-macam terma dan syarat.

Secara keseluruhannya itulah ‘tabiat’ bank. Jika pelanggan mempunyai isu dengan bank, jangan harap ada budi bicara apatah lagi minta maaf. Minta maaf pelanggan kepada bank tidak laku. Melihat monopoli dan dominasi institusi kewa­ngan kadang-kadang ada betul dakwaan bahawa antara bank dan along lebih kurang sama.

Yang membezakan along cumalah gemar simbah cat merah ke rumah atau kenderaan pemiutang tetapi bank gemar hantar surat peguam. Penuh peti surat dengansurat peguam jika anda tiada disiplin membayar hutang.

Namun, ada yang kata bisnes begitulah sifatnya. Bukan bisnes jika tidak memikirkan untung. Setiap pengendali perlu mengumpul sebanyak mungkin keuntungan tanpa ada budi bicara.

Bagaimanapun, di sebalik itu, tercetus kontroversi apa sudah jadi dengan sistem pembankan CIMB dan Maybank sehingga tergendela berjam-jam. Kejadian Maybank pada 5 April dan disusuli CIMB pada 8 April sangat merengsakan le­bih-lebih lagi berlaku pada hari-hari terakhir umat Islam mahu menyambut Aidilfitri.

Yang tidak menyambut Aidilfitri pun sama meroyan kerana segala macam urusan tidak boleh dilaksanakan. Gara-gara masalah pada sistem bank, netizen melabelkan CIMB sebagai bank sotong manakala Maybank rimau. Kini sotong dan rimau popular di media sosial.

Bukankah institusi perbankan yang mengalakkan rakyat menggunakan perbankan atas talian. Sampai mak cik yang bertongkat dan pak cik berkerusi roda pun disuruh belajar transaksi secara atas talian. Melalui pengalaman sistem bank tergendala, pelanggan berterima kasih kepada Ahli parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mendesak BNM mengenakan penalti kepada CIMB dan Maybank akibat isu sistem masing-masing. BNM sudah mengarahkan kedua-dua bank itu memberi penjelasan mengenai kejadian itu.

Dalam isu tersebut, orang ramai juga seperti bank, tidak mengharapkan permohonan maaf atau diajar bersabar. Mereka mahu tahu bagaimana sistem bank untung berbilion ringgit lemah sehingga mengharu-harakan kehidupan mereka.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya