Siang discaj, malam masuk yang baharu - Utusan Malaysia

Siang discaj, malam masuk yang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIANG discaj, malam masuk pesakit yang baharu.  Begitulah keadaan di Dewan DG Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang  Maeps), Selangor.

Jika siangnya 250 pesakit discaj pada sebelah petang dan malamnya, angka itu pasti kembali meningkat.

Pendek kata, tidak pernah ada hari tanpa pesakit baharu sejak beberapa minggu lalu di Maeps. Malah, jumlah pesakit yang dimasukkan ke Maeps jauh lebih ramai daripada yang discaj akibat pandemik Covid-19.

Adakalanya, selang 30 minit atau sejam, bas membawa masuk pesakit-pesakit baharu ke beberapa dewan (hall) di sini.

Benar, Covid-19 tidak memilih mangsa. Ada bayi yang dijangkiti, ada yang umur lima tahun, remaja dan warga emas.

Dewan DG Maeps menempatkan pesakit kategori 1 dan 2 yang stabil. Ia dilengkapi kemudahan katil dua tingkat yang boleh memuatkan kira-kira 800 pesakit selain klinik dan ‘wad’ khas bagi  merawat mereka yang sakit atau bergejala seperti demam atau cirit-birit.

Antara pemeriksaan awal adalah mengenal pasti tahap oksigen dalam badan selain petugas kesihatan mendapatkan sejarah perubatan pesakit terutama yang menghidap diabetes dan darah tinggi.

Pesakit turut diminta duduk bangun sebanyak 10 kali sementara petugas kesihatan memeriksa bacaan oksigen dalam badan dan tekanan darah. Selain itu, pemeriksaan ultra sound paru-paru turut dibuat untuk mengesan pesakit yang telah dijangkiti kuman.

Walaupun jumlah yang dimasukkan ke PKRC ini ramai, para petugas kesihatan menjalankan tugas seperti biasa. Lengkap dengan PPE, mereka periksa setiap pesakit yang didaftar masuk sebelum ditentukan ‘kediaman’ mereka sepanjang tempoh kuarantin di situ.

Menyedari implikasi ke atas pesakit, mereka yang ada gejala teruk seperti masalah pernafasan akan dirujuk terus ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Demikianlah, prihatinnya petugas kesihatan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pesakit.

Di dewan, antara rutin adalah pemeriksaan secara berkala oleh doktor terutama ke atas pesakit yang berisiko. Yang biasa berlaku adalah demam yang berpanjangan, batuk selain hilang deria rasa dan bau.

Dalam masa yang sama, pesakit mesti peka dengan panggilan nama oleh petugas kesihatan. Biasanya ia bermula sekitar pukul 8 pagi hinggalah ke malam. Ia pemeriksaan lanjut tahap kesihatan  para pesakit terutama bagi yang baharu masuk.

Selepas 10 hari menjalani kuarantin di PKRC, pesakit yang sihat dibenarkan pulang. Tarikh itu dikira daripada bilakah anda membuat ujian calitan PCR.

Pesakit dibenarkan pulang dengan Surat Akuan Rawatan Pesakit Covid-19 yang inti pati kandungannya: “Pesakit yang dilepaskan tidak lagi dianggap berjangkit”.

Terima kasih kepada pasukan petugas hadapan atas khidmat cemerlang anda membantu para pesakit dan membantu negara mengekang penularan Covid-19.

Kepada rakyat Malaysia, duduk di rumah jika tidak ada keperluan keluar.

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.