Sentiasa beringat-ingat dalam kuasa

Sentiasa beringat-ingat dalam kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERJAYA politik, yang bila tiba rezekinya, menang pilihan raya, terbentuklah kerajaan. Jadilah si polan polan sebagai menteri atau bernasib baik naik ke tangga jawatan nombor satu dan dua kerajaan.

Bila sebelum berkuasa, tekad sini, azam situ. Sewajarnya selepas berkuasa, pendirian dan prinsip sama dibawa. Hakikatnya politik berupa alat dan kaedah mencapai kebaikan bagi orang ramai.

Bukan untuk keburukan seperti agenda peribadi yang lahap kuasa, gelojoh mengkayakan diri sendiri.

Perkara inilah yang perlu direnung dan dihadamkan oleh mana-mana pemimpin atau parti sama ada sebelum dan selepas berkuasa. Kesilapan yang dilakukan dalam politik dan berkerajaan amat besar risikonya.

Seseorang yang memegang jawatan tinggi perlu cermat dan hati-hati dalam serba-serbi tindakan. Termasuklah kenyataan kepada media atau panda­ngan masyarakat seluruhnya kepada perwatakan dan dirinya. Ada belaka padahnya yang buruk.

Kata-kata bijaksana merumuskan hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca. Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang harus tidak dibuat kerana nanti orang akan nampak. Atau orang akan mudah bertindak balas. Lalu dikatakan penghuni rumah kaca jangan lempar batu. Nanti apabila orang membaling batu, rumah itu akan pecah dan musnah.

Malangnya, tidak semua ahli politik yang berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa. Setelah anda menjadi type-cast, persepsi itu terus berkembang dan amat susah untuk dihapuskan.

Apabila ditimpa musibah politik, akibatnya amat teruk seolah-olah membenarkan pepatah – apabila hujan, ia mencurah.

Kerajaan mana-mana pun di dunia ini untuk terus sukses, perlu buat post mortem. Paling mustajab enam bulan sekali untuk menilai keupayaan para menteri dan dasar-dasar yang dibawa.

Lihat siapa yang memiliki naluri tajam mencernakan idea-idea bukan retorik dalam bercakap dan melaksanakan sesuatu isu, dasar dan khidmatnya. Ada yang sifatnya sebagai ‘gurkha’ dan ada pula yang ‘dunianya masih siang’ lantaran usia masih muda untuk terus diasuh sebagai menteri berwibawa.

Lagi lama seseorang itu berkhidmat, lagi banyak jasanya. Sementara pandangan ini mengandungi kebenaran, risiko­nya tetap ada. Lagi lama berada dalam sesuatu jawatan, lagi banyak kesilapan dan masalah yang timbul.

Ini sering diperkatakan dalam agensi atau jabatan yang menggerakkan pe­nguatkuasaan. Perlu kerap proses pertukaran kalangan para pegawai kanan untuk mengelak sakau menyakau, sebelum dibadai bencana besar mahkamah.

Kita di Malaysia telah menyaksikan pentadbiran kerajaan yang singkat sejak 9 Mei 2018. Ada 22 bulan, 17 bulan dan 14 bulan. Kerajaan Perpaduan pula sedang memasuki bulan keenam pentadbirannya sejak Pilihan Raya Umum 19 November tahun lalu.

Kestabilan politik Malaysia hari ini cukup getir. Padahal, penting diperkuatkan demi menarik pelaburan yang banyak. Politik yang goyah mengakibatkan penanam modal tidak ada konfiden, merananya adalah rakyat.

Semua menteri wajib ingat sumpah jawatan. Jika sewenang-wenang salah guna kuasa, nantikanlah bahananya di mahkamah.

Bijak pandai sering berkata, sejarah banyak mengajar manusia. Tetapi manusia biasanya mengulangi perilaku sejarah seperti yang dikatakan dalam peribahasa Inggeris: History repeats itself. – UTUSAN

  • Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya