KETIKA Malaysia meraikan musim durian yang luar biasa dengan lambakan buah di seluruh negara, para pekebun pula berdepan dengan hakikat yang pahit. Hasil yang banyak tidak membawa kegembiraan kepada mereka. Kerana ia menjadi punca kerugian apabila harga menjunam ke paras yang tidak berbaloi.
Akibatnya, ada yang memilih membiarkan buah reput di dusun kerana kos mengutip dan mengangkut lebih tinggi daripada nilai jualannya.
Situasi yang sama berlaku kepada semua jenis komoditi pertanian kita. Tidak kira apa yang ditanam oleh petani. Sama ada sayur-sayuran, buah-buahan atau tanaman kontan yang lain. Hasil yang banyak kadang-kadang langsung tidak membawa nilai kepada petani.
Tidak percaya? Turunlah ke lapangan, buat siasatan.
Ketika kerajaan menjaja slogan ‘pertanian adalah perniagaan’, tetapi realitinya tidak sama seperti slogan. Sepatutnya apabila ia adalah perniagaan, semakin banyak hasil maka semakin besarlah pendapatan pak tani. Tetapi ini berlaku sebaliknya. Apabila hasil banyak pak tani garu kepala. Hendak jual di mana semua hasil ini? Lihatlah lambakan durian sekarang ini di seluruh negara.
Persoalannya, mengapa semakin banyak hasil dituai, semakin miskin pula petani?
Kalau tanya kepada pakar ekonomi mereka akan berkata, itulah hukum asas ekonomi. Apabila penawaran melebihi permintaan, harga akan jatuh. Namun, masalah yang melibatkan pak tani kita lebih kompleks daripada sekadar teori ekonomi.
Yang pasti para petani kita bersendirian tanpa ada rangkaian atau dibantu oleh rangkaian pengedaran yang lengkap. Ya, kita ada berpuluh malah mungkin beratus agensi kerajaan yang membantu petani. Tetapi adakah mereka berfungsi seperti dirancang atau sekadar atas kertas?
Jika semua agensi kerajaan ini berfungsi rasanya para petani tidak akan berhadapan dengan lambakan hasil seperti itu.
Kerana kegagalan agensi-agensi kerajaan inilah maka negara masih kekurangan kemudahan pemprosesan hasil pertanian berskala besar. Durian misalnya tidak semestinya perlu dijual sebagai buah segar. Ia boleh diproses menjadi pulpa sejuk beku, aiskrim, pes, kuih, kopi berperisa durian atau dieksport dalam bentuk bernilai tinggi.
Satu lagi yang perlu dilihat adalah rantaian pemasaran yang panjang. Ini menyebabkan petani menerima bahagian keuntungan yang paling kecil. Walaupun pengguna membeli durian pada harga yang masih tinggi di bandar, pekebun di kampung mungkin hanya menerima sebahagian kecil daripada harga tersebut.
Penyelesaiannya memerlukan perubahan menyeluruh. Kerajaan perlu memperkukuh sistem ramalan pengeluaran supaya petani mendapat maklumat awal mengenai permintaan pasaran. Dalam masa yang sama, pelaburan dalam industri pemprosesan makanan perlu dipertingkat.
Setiap daerah pengeluar utama sepatutnya mempunyai pusat pemprosesan yang mampu membeli lebihan hasil petani pada harga yang munasabah.
Hakikatnya, kejayaan sektor pertanian tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah hasil yang dituai. Kejayaan sebenar ialah apabila hasil yang banyak diterjemahkan kepada pendapatan yang stabil dan kehidupan yang lebih baik untuk petani.
Selagi lambakan hasil terus menyebabkan harga runtuh tanpa penyelesaian sistemik, selagi itulah paradoks pertanian Malaysia akan berulang—petani bekerja lebih keras, menuai lebih banyak, tetapi pendapatan yang semakin kecil. – UTUSAN
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia
Semakin banyak hasil, semakin miskin petani kita

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved