Semak semula hukuman era kolot untuk beri keadilan

Semak semula hukuman era kolot untuk beri keadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pengampunan Najib Razak menjadi berita panas selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara sebanyak 50 peratus kepada enam tahun. Denda dikenakan terhadap bekas perdana menteri turut dikurangkan 76.19 peratus kepada RM50 juta berbanding RM210 juta yang sebelum ini.

Keputusan lembaga itu terus menjadi perbualan. Penyokong atau pembenci Najib ada alasan masing-masing. Ada mahu Najib kembali ke rumah. Tidak kurang yang mahukan keadilan ditegakkan tanpa mengira seseorang itu VIP. Keadilan sepatutnya tidak mengenai siapa pesalah.

Ada mencadangkan negara move on kerana Malaysia bukan hanya mengenai Najib. Bekas PM itu hanya seorang daripada 33.4 juta penduduk negara ini. Negara ini tidak bermula atau berakhir dengan seorang individu tidak kira siapa orang berkenaan.

lebih besar yang dibicarakan berikutan keputusan pengurangan hukuman itu adalah pesalah lain yang masih di penjara. Adakah mereka tidak layak diberikan pengampunan atau pengurangan hukuman?

Ketika ini ada lebih 79,000 penghuni di 93 institusi di bawah pengurusan Jabatan Penjara di seluruh negara. Jumlah itu lebih 11.2 peratus daripada kapasiti yang boleh diuruskan Jabatan Penjara iaitu 65,762 penghuni. Itu tidak lagi kos harian memberi makan dan menjaga mereka.

Kerajaan sedang mempergiatkan Sistem Parol, Perintah Kehadiran Wajib, Pelepasan Banduan Secara Lesen, Program Reintegrasi Penghuni dan Program Pemulihan Pemasyarakatan bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem penjara.

Di Malaysia, ada banduan dihukum sepanjang hayat dengan tiada tarikh bebas kecuali pengampunan atau peringanan hukuman daripada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di Pertua Negeri.

Ada juga hukuman penjara seumur hidup iaitu meringkuk dalam penjara 20 tahun dan 30 tahun. Kesesakan di penjara diburukkan dengan laporan 36.3 peratus atau 23,869 daripada 67,758 banduan yang ditahan di 47 penjara di seluruh negara adalah tahanan reman. Mereka membabitkan pelbagai kes jenayah kecil-kecilan terutama dadah.

Perangkaan sehingga akhir Ogos tahun lalu menunjukkan kesalahan dadah me­rangkumi hampir 88 peratus penghuni pusat tahanan jenayah.

Setiap jenayah perlu ada hukuman setimpal. Apa yang dipersoal ada ketidakseimbangan menempatkan suspek di penjara atau hukuman yang dikenakan. Mereka yang ditahan berkaitan rasuah boleh diikat jamin. Penjenayah seksual dan amang seksual termasuk terhadap kanak-kanak dapat diikat jamin. Pesalah kesa­lahan pertama atau jumlah bahan larangan dadah kecil direman di penjara.

Undang-undang dirangka sebagai usaha pencegahan tetapi ada perundangan negara diwarisi sejak era zaman penjajahan atau dibuat ketika negara berhadapan ancaman komunis.
Kita hidup pada tahun 2024 dan tetapi ada hukuman era sebelum Internet wujud. Pihak berkaitan harus menyemak semula undang-undang dan hukuman yang tidak lagi relevan termasuk mereka yang terlalu lama di penjara.
Hukuman harus setimpal dengan kesalahan. Kesalahan pertama harus diambil kira berbanding penjenayah bersiri. Sudah tiba masanya mereka yang tidak menjadi ancaman kepada masyarakat dan sudah menjalani hukuman setimpal dengan ‘kesalahan’ dikembalikan ke pangkuan keluarga masing-masing.

Mereka berhak menghabiskan sisa hidup masing-masing di luar tembok. Keadilan wujud bukan hanya dalam hukuman tetapi dalam belas kasihan.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd