Seluar dalam koyak, tali leher untuk mangsa banjir?

Seluar dalam koyak, tali leher untuk mangsa banjir?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tular dalam media sosial mengenai seluar dalam koyak yang disumbangkan orang ramai di sebuah pusat pemindahan banjir baru-baru ini.

Paling menggelikan hati, selain seluar dalam koyak, tali leher terpakai, kasut tumit tinggi turut dijadikan barangan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir.

Jangan tidak percaya, baju kurung berlabuci, manik-manik ala datin pergi majlis makan malam juga turut dijadikan barangan sumbangan.

Entah apa yang difikirkan oleh para penyumbang ini semua sebelum membuat sumbangan. Bila masanya mangsa-mangsa banjir ini perlu memakai tali leher dan hendak melaram di pusat pemindahan sementara?

Isunya di sini bukannya terlalu memilih atau hendak mengada-ngada, tetapi, memberi seluar dalam koyak dan tali leher boleh membawa maksud yang menghina kepada mangsa-mangsa banjir selain dianggap tidak sensitif.

Sebenarnya, masyarakat boleh menyumbang pakaian terpakai mereka, tetapi bukannya pakaian dalam atau pakaian yang mahu dilupus semata-mata kerana ia dianggap terlalu peribadi selain berkait rapat dengan isu kebersihan.

Sekadar mencadangkan, barangan yang ideal untuk disumbangkan orang ramai adalah t-shirt, seluar sukan, seluar jeans, seluar pendek, kain batik, kain pelikat, tuala, peralatan mandian, pad wanita, ubat-ubatan dan lain-lain lagi. Seelok-eloknya beri yang baharu.

Nampaknya sukarelawan atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu lebih peka berhubung isu berkenaan dan membuat tapisan di peringkat awal.

Jangan jadikan kotak barangan sumbangan sebagai medan untuk pelupusan pakaian sebahagian masyarakat.

Apapun, kita perlu tabik hormat kepada para sukarelawan dan NGO-NGO yang tidak kenal erti penat dalam menghulurkan bantuan iaitu sejak hari pertama lapan negeri Semenanjung dilanda banjir iaitu Sabtu minggu lalu.

Baik dari segi bantuan menyelamat dengan membawa bot masing-masing untuk mengangkut mangsa-mangsa banjir ke tempat selamat sehinggalah kepada memasak dan menyediakan makanan untuk kalangan yang terjejas.

Tindakan ini merupakan nilai-nilai murni yang tersemat dalam sanubari rakyat Malaysia sejak dari dahulu lagi dan mereka ini jugalah sebenarnya adalah wira yang tidak didendang.

Azman Ibrahim ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.