Selepas RUU rokok, kita larang telefon di sekolah?

Selepas RUU rokok, kita larang telefon di sekolah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANG Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 telah diluluskan walaupun terdapat perdebatan hangat mengenai generasi penamat (GEG) yang dikeluarkan daripada draf yang diluluskan.

Sehingga hari ini isu ini terus mendapat perhatian. Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menerima banyak kritikan. Dia semestinya ada hati yang kental untuk duduk di Dewan Rakyat dan menerima semua teguran. Di luar Dewan, tidak kurang suara yang terus mengheret isu itu.

Seorang pakar perundangan berkata, kerajaan seharusnya meneruskan GEG dan mempertaruhkan sama ada ia berlawanan dengan perlembagaan di mahkamah kemudian. Ini kelakar. Mempertaruhkan sesuatu kepada mahkamah juga bermakna lebih baik membunuh dan kemudian mempertaruhkan nasib di mahkamah.

Membuat undang-undang bukan lawatan ke kasino di Genting atau bermain poker. Katakan selepas 100,000 orang didenda dan dipaksa khidmat masyarakat hanya untuk mengetahui mahkamah mendapati Pindaan Kawalan Produk Merokok 2023 (dengan GEG) melanggar perlembagaan. Apa akan jadi kemudian? Siapa yang hendak bertanggungjawab? Mungkin udara semakin tercemar membuatkan lebih ramai menjadi bengong.

Dr. Zaliha tidak gagal. Orang belum dewasa (OBD) masih tertakluk kepada larangan menggunakan produk rokok tidak kira bila mereka dilahirkan. Undang-undang masih menetapkan denda RM500 dan kerja khidmat masyarakat kepada perokok atau pengguna vape dalam kalangan OBD. Mereka yang menjual kepada OBD dikenakan denda bermula RM20,000.

Peruntukan memberikan menteri kuasa melantik seberapa ramai pegawai diberi kuasa memeriksa dan mengambil tindakan melaksa­nakan RUU ini. Mereka diberikan kuasa seperti pegawai polis termasuk memasuki premis dan memeriksa produk tembakau termasuk menyita dokumen termasuk mendapat waran daripada majistret sebelum menyerbu dan menggeledah premis.

Cabaran lebih besar kepada RUU ini adalah pelaksanaannya. Malaysia seluas 330,803 kilometer persegi. Jumlah golongan di bawah umur 18 di Malaysia tahun ini dijangka 9.13 juta atau 27.4 peratus daripada keseluruhan penduduk 33.38 juta. Ada puluhan ribu kedai dan pusat menjual rokok yang perlu dipantau bagi melaksanakan semua peruntukan akta ini.

Terdapat keperluan pegawai diberi kuasa yang ramai untuk memastikan penguatkuasaannya menepati hasrat atau jiwa ia diadakan. Begitu juga pelaksanaan kerja khidmat masyarakat kepada pesalah OBD. Satu sistem diperlukan dan dengan ramai pelantikan jika mengambil kira luasnya bidang tugas menguatkuasakan RUU Kawalan Rokok ini.

Saiz negara di kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak tidak harus terkecuali. Jumlah peruntukan besar diperlukan supaya sistem ini dilaksanakan secara berkesan. Kita terkenal dengan perundangan bertaraf dunia tetapi penguatkuasaan dunia keempat atau terpaling “berkesan”.

Melihat kepada masa depan dan mencegah lebih ramai golongan yang kurang bijak, Malaysia harus menimbang larangan membawa telefon bimbit ke sekolah. Di New Zealand ia akan dilaksanakan berikutan kadar literasi semakin teruk. Satu kajian mendapati kurang separuh orang muda New Zealand memenuhi standard menulis dan membaca berdasarkan umur mereka.

Ini bermakna kadar literasi di New Zealand semakin menurun. Beberapa negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Belanda melarang penggunaan telefon di sekolah.

Maklumat sangat berkuasa. Negara akan berhadapan krisis jika ramai tidak tahu membaca kerana sudah ada yang tahu membaca tetapi tidak memahami apa yang dibaca.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. – UTUSAN