Segerakan bantu mangsa banjir

Segerakan bantu mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keadaan banjir di negeri-negeri pantai timur makin kritikal. Dilaporkan lebih 200,000 penduduk terkepung di daerah Kemaman, Besut di Terengganu dan Rantau Panjang, Kelantan.

Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) juga dilaporkan sudah mencecah 27,000 di Kelantan manakala kira-kira 40,000 lagi di Terengganu.

Ada beberapa lokasi yang disifatkan kritikal apabila hanya kenderaan berat iaitu lori 20 tan dan bot yang boleh melalui jalan utama seperti di Rantau Panjang.

Semua ini memerlukan kepada tindakan pantas untuk menghantar bantuan. Penggemblengan tenaga pelbagai agensi penyelamat amat perlu selain merancang dengan teliti supaya tiada kawasan atau daerah yang tertinggal.

Banyak cerita yang viral tentang keluhan penduduk yang terperangkap di rumah berjam-jam lamanya tanpa sebarang bantuan. Lebih menyedihkan apabila ada yang melibatkan urusan pengebumian keluarga tergendala kerana keluarga mangsa menunggu bantuan pasukan keselamatan.

Kita faham, dalam keadaan krisis, bantuan pasukan keselamatan akan mengambil sedikit masa. Sebabnya, terlalu banyak tempat dan kawasan yang terjejas. Sumber tenaga dan logistik pasukan bomba dan jabatan pertahanan awam juga adalah terhad.

Lebih menyulitkan apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa memotong bekalan elektrik di kawasan terlibat bagi mengelak kes-kes terkena renjatan elektrik. Sudahlah rumah dinaiki air, bekalan elektrik juga tiada.

Ada sesetengah kes, mungkin mangsa tidak sempat membawa bersama sebarang makanan dan minuman akibat air naik terlalu pantas. Yang bermain di fikiran hanyalah menyelamatkan diri dan keluarga daripada keadaan yang lebih buruk.

Bayangkan kepayahan yang ditanggung. Badan dah penat kerana terpaksa menyelamatkan diri dan keluarga selain barang-barang berharga daripada ditenggelami air, bekalan makanan dan minuman pula terputus. Talian telefon bimbit pula tiada akibat kehabisan bateri.

Inilah suasana yang perlu difahami oleh kerajaan negeri yang terlibat. Banjir di Kelantan dan Terengganu bukan baru. Boleh dikatakan berlaku saban tahun. Sepatutnya, kerajaan negeri dan pihak yang berwajib belajar daripada insiden yang lepas-lepas.

Ambil iktibar terutama dalam memastikan delivery system dalam bab menyelamat dan menghantar bantuan makanan, minuman sentiasa dikemaskini.

Ini bukan bermakna kita menindakkan usaha dan khidmat pasukan penyelamat tetapi masih ada ruang untuk baiki beberapa kelemahan. Yang paling utama, segera gerakkan unit udara untuk memasuki kawasan yang terputus hubungan melalui darat.

Jangan sudah tiga empat hari banjir dan penduduk terperangkap atau terputus hubungan, barulah helikopter hendak digerakkan. Tindakan semasa krisis mesti cepat dan pantas. Sebarang kelewatan boleh membawa kepada kehilangan nyawa.

Dalam pada itu, kita lega dengan jaminan kerajaan bahawa bekalan makanan untuk mangsa-mangsa banjir di negeri Pantai Timur mencukupi dan akan menggerakkan bantuan bakul makanan bagi memudahkan mangsa yang terlibat.

Segerakan bantuan, jangan biarkan mangsa terus dalam derita. Dalam situasi sekarang, sebotol air boleh menyelamatkan nyawa. – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia 

 

 

 

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya