Segera selenggara, baiki sekolah - Utusan Malaysia

Segera selenggara, baiki sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Perdana Menteri tentang peruntukan penyelenggaraan bagi semua jenis sekolah pada 2027 dinaikkan sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, sangat dialu-alukan.

Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan tambahan itu meliputi semua aliran sekolah termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.

Yang penting, sistem penyampaian bagi menjayakan hasrat kerajaan itu perlu telus dan dapat segera dilakukan. Jangan pula ada kerenah birokrasi sehingga boleh merencatkan hasrat murni kerajaan dalam menyediakan kemudahan dan prasarana sekolah terbaik untuk rakyat.

Setakat 2 Julai lalu, lebih 1,000 sekolah seluruh negara dikenal pasti mempunyai bangunan yang tidak selamat dari segi struktur dan diklasifikasi sebagai daif.

Dalam masa sama, sejumlah 1,061 sekolah mempunyai bangunan dikategorikan di bawah skala tujuh, iaitu klasifikasi bagi ba­ngunan sekolah daif.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan ba­ngu­nan sekolah termasuk yang sudah lama beroperasi perlu dinilai semula, mengambil kira aspek perubahan saiz fizikal pelajar ketika ini.

Ia juga mengambil kira kepadatan bangunan, corak pergerakan harian dan tingkah laku penggunanya. Penilaian semula perlu di­buat terhadap ketinggian penghadang, jarak bukaan railing, kekuatan sambungan, tahap kakisan, keretakan konkrit dan kestabilan susur tangan.

Ini termasuk keupayaan penghadang menahan beban mendatar apabila pelajar bersandar, bertolak-tolakan atau berkumpul di kawasan koridor dan tangga.

Ia menjadi lebih penting bagi mempersiapkan sekolah dalam keadaan selamat bagi menyambut kema­sukan dua kohort tahun satu 2027 melibatkan 478,419 permohonan masing-masing 73,386 pendaftaran kanak-kanak enam tahun dan 405,033 kanak-ka­nak umur tujuh tahun.

Sebahagian daripada peruntukan juga wajar digunakan bagi tujuan penyelenggaraan berkala dan pencegahan supaya kerosakan kecil tidak menjadi lebih serius serta memerlukan kos pembaikan lebih tinggi.

Penyelenggaraan juga tidak seharusnya hanya bersifat reaktif, iaitu menunggu kerosakan berlaku sebelum tindakan diambil. Bila bangunan sudah lama, ia hanya menanti masa untuk diselenggara dan diganti di sana-sini. Maklumlah, ada yang sudah haus dan lusuh.

Isu penyelenggaraan sekolah bukan sekadar soal mencantikkan bangunan. Ia berkait secara langsung dengan keselamatan warga sekolah, kualiti persekitaran pembelajaran dan kebajikan guru.

Masih ada sekolah yang berhadapan dengan ma­salah bumbung bocor, tandas yang perlu dibaiki, pendawaian elektrik, sistem saliran, bilik darjah uzur serta kemudahan asas yang memerlukan penyelenggaraan segera.

Memang tambahan itu tidak mencukupi untuk membaik pulih semua kerosakan, namun ia memadai bagi menaik taraf dan membaik pulih kemudahan sedia ada jika diuruskan dengan ikhlas dan amanah.

Dengan tambahan peruntukan ini, kita amat berharap, kontraktor yang dipilih berwibawa dan bertanggungjawab supaya kerja pembaikan dapat dilaksana dengan cepat, berkualiti dan berkesan

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia