Segera laksana agenda negara

Segera laksana agenda negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tanggungjawab rakyat untuk keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu sudah selesai. Mereka telah membuat keputusan untuk memilih calon-calon parti yang difikirkan paling layak menerajui negara.

Walaupun sehingga lewat petang semalam tiada lagi keputusan parti mana yang bakal menerajui negara ekoran berlaku keadaan Parlimen tergantung, calon-calon yang terpilih sebenarnya sudah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas mereka.

Mungkin berlaku sedikit gangguan kepada ahli Parlimen terlibat dalam menjalankan tugas mereka sebagai wakil rakyat untuk penggal Parlimen yang baharu tetapi itu bukan alasan melupakan tanggungjawab mereka.

Biarlah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan kebijaksanaan menyelesaikan kemelut tersebut terutamanya selepas dua pemimpin utama daripada Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen berkaitan sebagai bukti mereka mempunyai sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri.

Kemelut itu dijangka selesai dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira mandat yang diberikan oleh rakyat Sabtu lalu. Masalah itu pastinya tidak akan dibiar berterusan kerana pelbagai masalah lebih besar akan timbul.

Tugas ahli Parlimen yang menang dalam PRU15 bukan setakat menentukan kerajaan memerintah dan memilih Perdana Menteri tetapi mereka juga bertanggungjawab melaksanakan tugas lain bagi menjayakan agenda negara.

Tugas mereka juga bukan berkisar di Parlimen sahaja membincangkan, berbahas pelbagai dasar kerajaan dan menggubal pelbagai undang-undang negara.

Yang lebih penting adalah janji-janji, manifesto yang mereka kemukakan kepada rakyat sepanjang tempoh berkempen. Inilah masanya untuk melaksanakan pelbagai inisiaif tersebut.

Segala yang mereka kemukakan itu adalah untuk kebaikan rakyat juga dan sebab itulah pengundi memilih mereka.

Dan inilah juga masanya mereka melaksanakan reformasi dalam pelbagai segi termasuk pentadbiran kerajaan yang adil, bersih dan penuh integriti seperti dijanjikan dan dimahukan oleh rakyat.

Janji-janji mereka dalam pilihan raya itu jugalah yang menarik minat pengundi muda dan pengundi baharu yang berjumlah kira-kira 5 juta orang untuk mengambil bahagian dalam PRU15, sekali gus mengubah landskap politik tanah air.

Masalah rakyat seperti harga barang mahal, kos hidup tinggi, masalah perumahan, alam sekitar dimusnahkan juga adalah agenda negara yang perlu ahli Parlimen selesaikan segera tanpa perlu menunggu siapa jadi Perdana Menteri. – UTUSAN

  • Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya