Sediakan bajet untuk vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Sediakan bajet untuk vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA berjaya mengekang penularan Covid-19 lebih baik berbanding kebanyakan negara termasuk negara maju. Jumlah kes walaupun masih ada adalah tidak seburuk seperti di Amerika Syarikat, India atau jiran negara Indonesia.

Seluruh dunia masih dicengkam kebimbangan wabak terburuk yang bermula di Wuhan China pada Disember lalu sejak Spanish Flu yang meragut antara 17 juta hingga 50 juta nyawa pada 1918 hingga 1920.

Perangkaan semasa menunjukkan 19.5 juta orang dijangkiti Covid-19 dengan 724,000 orang telah menemui maut. Angka kematian dijangka lebih tinggi terutama di negara miskin.

Di Malaysia, koronavirus yang mula dikesan pada lewat Januari tahun ini telah menjangkiti 9,083 individu dengan pemulihan 96.8 peratus dan hanya 125 kematian.

Pihak berkuasa Malaysia harus diberikan pengiktirafan atas kejayaannya. Rakyat juga patut berbangga di atas pengorbanan masing-masing walaupun beberapa individu meletakkan kepentingan diri mengatasi umum sebagai contoh sumber kluster Sivagangga.

Cabarannya kini bukan hanya mengekang penularan virus itu. Negara-negara maju sudah mula menempah vaksin Covid-19. Kerajaan Amerika Syarikat menempah 100 juta dos vaksin Covid-19 dari P zer dan BioNTech SE membabitkan kos AS$1.95 bilion dengan pilihan mendapatkan 500 juta lagi dos vaksin sama.

Kerajaan UK memeterai perjanjian untuk 90 juta dos vaksin. Perancis bersama rakan Eropah lain seperti Jerman, Belanda dan Itali membuat pra-tempahan 400 juta dos vaksin Covid-19.

AS memang terkenal dengan persediaan menghadapi bencana. Ia mempunyai Simpanan Kebangsaan Strategik yang menyimpan pelbagai ubatubatan bagi menghadapi bencana, pandemik serta serangan biokimia. Malah agensi AS itu menyimpan 300 juta dos vaksin cacar air atau smallpox.

Malaysia memerlukan kira-kira 35 juta dos vaksin Covid-19 berdasarkan jumlah penduduk termasuk pendatang. Berdasarkan harga kira-kira AS$20 untuk setiap dos yang dibayar Amerika Syarikat, Malaysia perlu membelanjakan kira-kira RM2.94 bilion untuk vaksin Covid-19 bagi 35 juta penduduk.

Ini jumlah yang besar ketika hutang negara termasuk liabiliti mencecah RM1.2 trilion. Kerajaan harus mengutamakan bajet untuk pembelian vaksin kerana harus diingat, vaksin sama diperlukan 7.8 bilion penduduk bumi. Syarikat farmaseutikal akan mengutamakan negara-negara yang membuat tempahan awal dan negara yang mampu membayar untuk vaksin berkenaan.

Malaysia harus menjadi antara negara yang membuat tempahan awal atau segala usaha mengekang pandemik ini akan menjadi sia-sia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya