‘Sedekah’ pilihan raya perlukan penyelesaian

‘Sedekah’ pilihan raya perlukan penyelesaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKTA Kesalahan Pilihan Raya 1954 terperinci menjelaskan apa-apa pemberian wang kepada pengundi adalah perbuatan membeli undi dan ia adalah rasuah pilihan raya.

Malah, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam reaksinya kepada akhbar dilaporkan berkata, rasuah adalah rasuah tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk menggambarkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan pembelian undi.

Ini bermakna sebarang pemberian kepada pengundi sebelum atau semasa pilihan raya berlangsung sekali pun mempunyai niat sedekah merupakan satu kesalahan sogokan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam Islam, istilah sedekah itu membawa maksud yang sangat besar. Firman Allah SWT bermaksud: Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan. (al-Baqarah: 271)

Sebab itu, ramai dalam kalangan umat Islam berlumba-lumba untuk bersedekah kerana mahu mendapatkan keredaan Allah dan kelebihan sedekah itu menurut syarak.

Namun, isunya di sini ‘sedekah’ itu didakwa dilakukan semasa dalam tempoh kempen rasmi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang sekali gus dianggap telah melanggar Akta Kesa­lahan Pilihan Raya 1954 dan sebab itu ia menimbulkan ba­nyak persoalan.

Isu yang mula diperkatakan dalam kalangan rakyat ini memerlukan penjelasan segera dalam kalangan mereka yang memegang kuasa. Jika terbukti ia menjadi satu kesalahan, maka ia perlu dihentikan segera dengan tindakan susulan yang perlu.

Ia melibatkan kepentingan umum dan integriti dalam berpolitik. Nak bersedekah boleh sahaja dibuat bila-bila masa, namun jika ia melalui satu fasa yang mempunyai akta mela­rangnya dalam tempoh tertentu, maka wajar ditangguh.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 secara terperinci menjelaskan apa-apa pemberian wang kepada pengundi adalah perbuatan membeli undi dan ia adalah rasuah pilihan raya.

“Motif dan niatnya jelas. Apatah jika diminta pengundi bersumpah atau sebagainya dan jika teliti semula Akta Kesa­lahan Pilihan Raya 1954 yang menyatakan seseorang disifatkan bersalah menyogok apabila sebelum atau semasa sesuatu pilihan raya dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa wang atau balasan bernilai kepada mana-mana pengundi.

“Terdapat dua konteks dalam undang-undang ini iaitu menyatakan apa-apa pemberian dalam waktu pilihan raya adalah satu sogokan dan dilakukan oleh calon atau wakil mahupun pihak lain,” katanya kepada Utusan Malaysia sebelum ini.

Yang terbaik biarlah mahkamah menentukan niat sebenar. – UTUSAN

  • Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya