SD atau kiraan undi di Parlimen

SD atau kiraan undi di Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM pernah berlaku pembentukan kerajaan perpaduan di Malaysia selepas pilihan raya sejak 1955. Unprecedented.

Mungkin kerana sistem tradisonal menentukan majoriti tidak dibuat iaitu sistemnya harus muktamad di lantai Parlimen, main-main akuan bersumpah (SD) pula jadinya. SD muncul semasa pertikaian politik mengenai kesahihan kerajaan negeri Perak pada 2009.

Walhal sebelum itu ia ditentukan oleh undian di Parlimen. Sebab itu pakar-pakar Perlembagaan berkata, tiada sistem yang lebih baik melainkan mengundi di Parlimen. Semua ahli Parlimen angkat sumpah dahulu, kemudian menentukan di mana letaknya kedudukan majoriti mudah.

Risikonya SD ia boleh ditukar. Satu SD yang dibuat tetapi selepas itu ditarik balik boleh datangkan kemudaratan besar. Namun kalau diambil perakuannya di Parlimen dengan komitmen Speaker yang tegas dan adil, maka itu mengikut sistem berparlimen yang sangat terpuji sejak beratus ratus tahun lamanya semenjak era Amerika silam, Jerman, kemudiannya New Zealand.

Justeru, cabaran Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini ialah bagaimana mendamaikan pihak-pihak yang sepatutnya menerima hakikat majoriti mudah tadi. Antaranya, pemimpin dari Perikatan Nasional (PN). Juga cabarannya mungkin ada parti yang akan melonggarkan persyarikatannya dalam satu-satu ikatan.

Serta selain daripada hujah-hujah dibuat misalnya melempar tuduhan terhadap pihak yang menjadi penentu kepada Perkara 43. Ini semua takkan terlepas daripada pandangan serong sekiranya didakwa sebagai perkara-perkara yang tidak adil di sisi legislatif aau pengadilan Parlimen.

Pas sendiri yang meraih kerusi Parlimen terbanyak, 41 berbanding parti-parti lain kelihatan dilema untuk masuk atau tidak ke dalam kerajaan perpaduan. Pas barangkali hendak buat horse trading (bertelagah untuk dapatkan kepentingan maksimum satu pihak) sendiri. Jika itu berlaku, PN mungkin berdepan satu keadaan kurang selesa dalam kepartaiannya sendiri. Seakan dalam ‘kebingungan’, namun Pas akhirnya kekal bersama PN menjadi pembangkang.

Anwar sudah pun menyatakan persetujuan untuk buat kiraan undi (mengabsahkan kedudukannya sebagai PM ke-10) di Parlimen 19 Disember ini. Mungkin beliau sudah konfiden dirinya akan diberi markah kerana jenama PM itu secara rasmi diberi oleh Raja di bawah Perkara 43 tadi.

Jika dilakukan, ia sangat baik sebagai formaliti paling muktamad. Diharapkan ‘main-main dengan SD’ tiada lagi dalam sistem demokrasi Malaysia, waima dalam Komanwel pun tidak dibuat sistem seumpamanya.

Siapa paling berjaya dalam PRU15? Paling menguntungkan dapat dividen tinggi ialah DAP sudah diterima oleh Sarawak. Ia dividen politik amat besar, di samping label ‘cauvinisme’ DAP dapat dilunakkan menerusi peranan setiausaha agungnya sendiri, Anthony Loke, lantaran kita kenal beliau attribute yang menjadi natijah tambahan budaya politik Malaysia.

Dengan PRU15 yang berlalu sekali gus dikira ‘tergeledah’ de­ngan keadaan sekarang, maka harus dibuat satu rumusan. Kerana kalau lama permasalahan isu ‘majoriti mudah’ ini berlegar, dibimbangi rakyat hilang punca nanti.

Banyak aspek perlu diawasi oleh PM baharu. Isu ekonomi, perpaduan dari segi kepentingan antarabangsa, keluaran dalam negara kasar, Bajet 2023 serta transformasi Parlimen yang besar dilaungkan oleh Anwar sendiri.

Dipercayai Jawatankuasa Parlimen sudah selesai kerjanya tempoh hari, tapi masih belum dibentangkan semua ini lantaran gara gara membubar Parlimen 10 Oktober lalu, hanya tiga hari selepas Bajet 2023 dibentangkan. – UTUSAN

  • Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.