“Saya dah ada, saya tak minat” - Utusan Malaysia

“Saya dah ada, saya tak minat”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kadangkala ramai yang terkeliru apabila menerima panggilan telefon daripada pihak tertentu terutama ejen insurans, unit amanah, wakil bank atau penjual barangan rumah yang mahu menjual perkhidmatan atau barangan mereka.

Ketika ejen tersebut bersungguh-sungguh memperkenalkan diri dan produk mereka, penerima panggilan pula mungkin berasa cuak dengan kes-kes penipuan yang berlaku dalam talian.

Bosan menerima panggilan sebegitu, mereka biasanya akan menjawab “Saya dah ada” atau “Saya tak minat” sebelum menghentikan perbualan.

Malah berlaku juga belum sempat ejen pemasaran berkenaan memperkenalkan barangan mereka, pene­rima panggilan terus menjawab “Saya tak nak. Saya dah ada” dan terus menghentikan perbualan walaupun tidak tahu apa yang mahu dijual. Semuanya kerana bimbang menjadi mangsa penipuan.

Bukan satu rahsia dalam kalangan ejen insurans atau unit amanah yang sememangnya tercari-cari nombor telefon orang ramai untuk mereka hubungi bagi menjual produk berkaitan.
Malah yang lebih berani sanggup mencari pihak tertentu yang mungkin boleh menjual senarai nombor telefon yang ada pada mereka.

Itu baru peringkat pemain kecil dalam industri insurans atau unit amanah, cuba bayangkan mereka yang terlibat dengan sindiket penipuan antarabangsa dan mampu mengaut keuntungan berjuta ringgit.

Yayasan Digital Malaysia (YDM), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam melahirkan masyarakat digital mendedahkan terdapat data rakyat negara ini daripada pelbagai organisasi kerajaan dan swasta dikesan dilelong secara pukal di laman web gelap dengan harga serendah RM4,400.

Data-data yang ‘dilelong’ mempunyai maklumat penuh peribadi setiap individu seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat, tarikh lahir, jantina, bangsa, agama, nombor telefon dan gambar.

Semuanya di hujung jari dan kesannya ramai yang menerima panggilan daripada pemanggil mencurigakan menawarkan barang dan perkhidmatan yang tidak pernah diminta. Ada juga pemanggil yang ‘berhati mulia’ menawarkan hadiah, wang tunai dan memberitahu kad kredit si polan telah digunakan oleh pihak lain.

Pemanggil terlibat tidak mengharapkan semua yang dihubungi akan tertipu dengan muslihat mereka tetapi kalau dapat satu atau dua mangsa, kadangkala amat berbaloi.

YDM mendapati kelemahan tadbir urus keselamatan siber dan kurang pengetahuan dalam bidang teknologi informasi (IT) organisasi yang mengumpul data menyebabkan berlakunya kebocoran data-data itu.

Mahu atau tidak perkara itu perlu diselesaikan segera kerana sindiket penipuan terlibat sanggup me­lakukan apa sahaja untuk mendapatkan data orang ramai dan wujud pula pihak yang dipanggil “Harapkan pegar, pegar makan padi”.

 

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia