Sarkas sudah tinggalkan pekan, masa pulih negara

Sarkas sudah tinggalkan pekan, masa pulih negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMBILAN hari lalu masa paling menarik dalam sejarah demokrasi negara. Bermula dengan pengumuman awal keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tiada pemenang mutlak 112 kerusi, Parlimen tergantung dan pembabitan Yang-di-Pertuan Agong bagi meleraikan kekusutan politik negara.

Akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 (PM10), perjuangan politik ke Putrajaya yang mengambil anak kelahiran Pulau Pinang itu 40 tahun selepas menjadi ahli UMNO pada 1982.

PRU15 akan dikenang kerana banyak perkara tetapi bukan semuanya yang baik. Pada kebanyakan masa ia kelihatan seperti demokrasi telah gagal. Banyak episod membuatkan kita berfikir akan ‘tabiat’ ahli politik negara. Ketika keputusan diumumkan menjelang tengah malam, ada pemimpin mengeluarkan kenyataan partinya akan menubuhkan kerajaan.

Agak melucukan kerana kiraan undi masih berlangsung. Perikatan Nasional (PN) ketika itu dipercayai sedang mendahului tetapi ada yang lupa kiraan undi di kubu kuat Pakatan Harapan (PH) masih berlangsung. Satu kerusi Bangi ada lebih ramai pengundi daripada keseluruhan penduduk Perlis. Itu belum Subang, Sungai Buloh dan Damansara yang setiap kerusi boleh menjadi lima kerusi parlimen secara bersendirian. Mungkin matematik bukan subjek pilihan ahli politik itu di sekolah.

Menjelang pukul 2 pagi Ahad 20 November, jelas kerajaan tergantung. Dua parti utama PH dan PN menjadi pemenang terbesar. Maka esoknya mula tawar menawar. Ada secara sukarela menawarkan diri bergabung seperti mendapat harta selepas perang. Barisan Nasional (BN) yang menang hanya 30 kerusi tiba-tiba menjadi kingmaker. Ramai mengintai BN seperti anak dara kampung rebutan.

Kemudian Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menyangka BN akan bergabung dengan PN menyatakan sokongan kepada PN. Apabila BN mahu kekal sebagai pembangkang maka tiada pakatan dapat menubuh kerajaan. Yang di-Pertuan Agong terpaksa campur tangan dan mencadangkan kerajaan perpaduan. PN menolak cadangan itu kerana enggan bersama PH, terutama DAP.

Apabila PH dan BN kembali bersama, GPS seperti kilat bertukar angin. Begitu juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Semua wakil Warisan bersama Anwar. Sebelum Anwar diumumkan sebagai PM, PN membuat pusingan U dan menyatakan sedia menerima kerajaan perpaduan. Tetapi kerana PH sudah mendapat sokongan dijangka hampir dua pertiga ahli parlimen, kali pertama sejak 2008, maka PH tidak memerlukan PN.

Pengundi yang memilih PN tidak kurang yang marah. Hantaran berbaur perkauman mula meledak di dunia siber. Tiada siapa memberitahu pengundi bahawa untuk membentuk kerajaan anda memerlukan 112 kerusi. Sekolah harus memperkenalkan kursus “Apa Itu Demokrasi 100” supaya pengundi faham satu undi tidak membentuk kerajaan.

Undi popular terbesar tidak membentuk kerajaan. Memenangi kerusi di Perlis, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak tidak cukup menguasai Putrajaya.

Selama enam hari negara dihidangkan pelbagai gelagat ahli politik. Ada sesetengah kenyataan mereka satu hari nanti boleh menjadi skrip lawak Senario. Kebanyakan masa, kita seperti berada di pertunjukan sarkas menyaksikan aksi badut-badut yang mencuit hati. Akhirnya demokrasi menjadi penyelamat.

Demokrasi seperti kemenyan atau colok yang dibakar, walaupun cuba ditutup atau dihalang, baunya tetap dapat dihidu dari jauh. Masa untuk merawat negara yang cedera selepas PRU15 harus bermula sekarang. – UTUSAN

  • Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.