Sarawak akan jadi medan apa?

Sarawak akan jadi medan apa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor banyak berki­sar soal penyatuan Melayu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini membawa cerita agak berbeza. 

Di bumi kenyalang, isu Melayu bukan taruhan utama, sebaliknya persoalan lebih besar adalah sejauh mana Gabu­ngan Parti Sarawak (GPS) mampu mempertahankan penguasaan politik mereka.

Dengan penamaan calon Sabtu ini, perhatian pastinya terarah kepada GPS yang selama ini menjadi kuasa dominan politik Sarawak. Pada PRN 2021, gabungan itu menang besar dengan menguasai 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Angka itu cukup untuk menggambarkan betapa kuatnya kedudukan GPS.

Namun, pilihan raya bukan sekadar mengulang kejayaan lalu. GPS perlu berdepan persoalan siapa kawan dan siapa lawan terutama apabila hubungan politik di peringkat Persekutuan tidak semestinya sama dengan percaturan di peringkat negeri.

Di Putrajaya, GPS merupakan rakan penting kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hubungan itu menjadikan mereka sebahagian daripada blok yang menyokong kestabilan kerajaan pusat.

DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) misalnya, tetap menjadi pencabar kepada GPS. DAP mempunyai pengaruh di beberapa kawasan bandar manakala PKR pula mahu membina kekuatan sendiri. Kedua-duanya mungkin rakan dalam kerajaan pusat, tetapi di Sarawak masing-masing mempu­nyai agenda dan kepentingan politik tersendiri.

Jumaat lalu, DAP Sarawak mengumumkan dua calon de­ngan menamakan Irene Wong di kerusi Pelawan dan Stanley Chiew (Bukit Assek).

Pada Ahad, tujuh lagi calon diumumkan yang mana Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen akan kembali ke Kota Sentosa manakala penyandang kerusi Pending, Violet Yong mempertahankan DUN berkenaan.

Berbeza dengan UMNO, mereka tiada struktur parti di negeri itu atas dasar sejarah komponen-komponen GPS dahulunya Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, jangan pula menganggap semua pihak yang tidak bertanding itu secara automatik menjadi sebahagian daripada GPS.

Persoalan sebenarnya, apakah GPS terlalu selesa dengan kedudukannya sekarang?

Kemenangan besar pada 2021 memang memberikan kelebihan psikologi tetapi pengundi tidak semestinya memberikan cek kosong untuk selama-lamanya. Isu pembangunan luar bandar, kemudahan asas, peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan dan kesihatan tetap perlu diberikan perhatian.

Slogan Sarawak First atau ‘Sarawak Diutamakan’ juga perlu diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar dirasai rakyat. Tidak cukup sekadar bercakap mengenai hak Sarawak, autonomi dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

GPS mungkin sudah mengenal pasti siapa lawan dan siapa yang boleh dianggap kawan. Namun, dalam politik kawan boleh berubah menjadi lawan apabila kepentingan bertembung.

Yang pasti, pengundi Sarawak bukan sekadar mahu melihat siapa menang besar. Mereka juga mahu tahu apa yang akan berubah selepas pilihan raya selesai. Jangan sampai Sarawak First hanya sedap didengar ketika kempen tetapi rakyat masih menunggu janji yang sama selepas keputusan diumumkan.

Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia