Sampai bila warga asing mahu jadi mesin ATM perasuah

Sampai bila warga asing mahu jadi mesin ATM perasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tak ada ribut, tak ada angin, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang jarang berbicara tiba-tiba muncul melabelkan tahap korupsi anggota penguat kuasa semakin kronik dan menakutkan.

Ahmad Khusairi mengaitkan faktor besar pelakuan rasuah itu dengan kebanjiran warga asing yang membuka peluang dan ruang kepada penguat kuasa tidak berintergriti melakukan rasuah yang bagaikan dihidang depan mereka.

Ramai tahu, sumber rasuah daripada warga asing bukan hanya membabitkan yang ‘kosong’ malah daripada cerita mulut ke mulut, pekerja asing yang lengkap dengan dokumen dan permit tidak terkecuali menjadi mangsa tidak bertempat penguat kuasa.

Mereka mengugut dengan bermacam masalah sehingga warga asing yang bimbang periuk nasi mereka dimusnahkan sanggup membayar wang diminta.

Susulan itu, kenyataan orang nombor dua SPRM Isnin lalu megingatkan semula kepada pendedahan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hassim yang disiarkan di akhbar ini pada 3 Ogos 2021.

Hishamuddin menggambarkan warga asing di negara ini dijadikan ATM bergerak kepada penguat kuasa tidak bertanggungjawab.

Malangnya, selepas lebih setahun kenyataan MHO, isu sama diluahkan pula oleh pegawai tinggi SPRM. Maknanya jenayah rasuah dari dulu hingga kini tidak pulih malah bertambah parah.

Ahmad Khusairi turut menempelak kalangan yang gemar mentafsirkan kes-kes rasuah sebagai kes terpencil. Ini kerana jenayah rasuah memang menjadi-jadi jangan cuba menafikan.

Walaupun diperdebatkan dengan gah oleh semua pihak, mengatur balik tugas-tugas penguat kuasa di jabatan atau lokasi kononnya sensitif dan memperbaiki SOP tugas penguat kuasa namun tidak ada apa yang positif.

Lebih mendukacitakan rasuah kini bukan lagi setakat jenayah tepi jalan tetapi ‘meriah’ di pejabat-pejabat berhawa dingin, padang golf, hotel-hotel besar dan pusat-pusat percutian mewah. Rasuah juga dituduh berlaku antara agensi dan sesama sendiri dalam agensi sama.

Lagi menyedihkan apabila rasuah yang terbongkar berlaku atas nama program untuk membantu rakyat tetapi sebenarnya ‘cara’ merompak dana tersebut.

Rasuah membabitkan orang besar kompleks kerana pelakunya cerdik dan ada yang kalangan pengubal dasar.

Bila rasuah memasuki fasa individu besar lagi berkuasa Malaysia memang dalam bahaya. Kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa aktiviti rasuah di Malaysia tidak boleh disembunyikan lagi kerana seluruh negara melihat dan mendengarnya.

Anwar kini berikrar memerangi rasuah. Bagi PDRM, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay diumum bakal menerajui Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan penyambungan kontrak Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mungkin ke arah menamatkan antaranya warga asing tidak lagi dijadikan mesin ATM bergerak oleh orang ada kuasa.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat sejauh mana rasuah mampu dipulihkan ketika era Kerajaan Madani. –UTUSAN

  • Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia